2 beradik ditahan, disyaki terlibat sindiket seludup diesel sejak 2012, raih untung hingga RM400 juta

Mereka dipercayai terbabit dengan sindiket penjualan minyak diesel bersubsidi bagi kegunaan nelayan, namun dijual pada kadar harga lebih tinggi kepada pembeli dari luar negara

2:42 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dua beradik pengusaha stesen minyak di Sibu, Sarawak ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terbabit sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi sejak 2012 dan mengaut keuntungan sehingga RM400 juta.

Majistret Romaroi Jonoi membenarkan suspek lelaki berusia lingkungan 40-an direman selama empat hari sehingga 29 Ogos ini manakala adik perempuannya berusia sekitar 30-an direman selama satu hari sehingga esok selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sibu, hari ini.

Menurut sumber, suspek dua beradik ini ditahan bersama dua lagi lelaki serta seorang wanita dalam Op Liter dijalankan Bahagian Operasi Khas dan Skuad Taktikal Khas SPRM yang turut mendapat kerjasama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sebuah depoh simpanan minyak diesel di Sungai Bidut, Sibu.

Mereka dipercayai terbabit dengan sindiket penjualan minyak diesel bersubsidi bagi kegunaan nelayan, namun dijual pada kadar harga lebih tinggi kepada pembeli dari luar negara.

“Mereka disyaki turut membayar wang rasuah kepada beberapa penguatkuasa sebuah agensi penguat kuasa bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana menyimpan minyak diesel tanpa permit yang sah,” katanya.

Menerusi operasi itu, SPRM telah menyita dua tongkang dan 30 tangki simpanan minyak yang dipercayai mengandungi kira-kira 1.6 juta liter minyak diesel.

Selain itu, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM3.7 juta susulan tangkapan terhadap kelima-lima suspek berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan tangkapan terhadap dua beradik berkenaan bersama dua lagi lelaki dan wanita dalam operasi diadakan semalam.

Bagaimanapun, dua lelaki dan seorang wanita terbabit dibebaskan dengan jaminan SPRM hari ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, selain Seksyen 471 Kanun Keseksaan serta Akta Kawalan Bekalan 1961. – 26 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related