Polis saran peniaga di Masjid India tutup sementara, bimbang risiko gas beracun

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, terdapat gas beracun dari kumbahan yang mungkin memberikan risiko kepada kesihatan peniaga

7:30 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis tidak menghalang peniaga untuk beroperasi di Jalan Masjid India, di sini, namun disebabkan lurang kumbahan dibuka bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang terjerlus ke dalam tanah mendap, ia mungkin membahayakan mereka.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, terdapat gas beracun dari kumbahan yang mungkin memberikan risiko kepada kesihatan peniaga maka beliau menyarankan peniaga di situ menutup perniagaan untuk sementara waktu.

Peniaga, katanya boleh menyambung perniagaan mereka sebaik sahaja keadaan pulih.

“Kita (polis) tak arahkan tutup sepenuhnya tetapi beberapa lurang kumbahan dibuka dan terdapat gas beracun dari kumbahan yang mungkin berisiko terhadap kesihatan peniaga di sini memandangkan ia berdekatan dengan gerai-gerai.

“Jadi sementara kerja itu berjalan, saya minta tutup sementara.

“Sebaik dah okay, kita akan buka seperti biasa dan tak ganggu perniagaan yang berlangsung di sini,” katanya pada sidang media di Jalan Masjid India, di sini, hari ini.

Pagi tadi, Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) meneruskan operasi dengan membuka enam lurang pembentungan kumbahan dari tapak kejadian di Jalan Masjid India, di sini sehingga ke Jalan Kinabalu bagi mengesan seorang wanita yang terjatuh dalam runtuhan tanah jerlus semalam.

Enam lurang kumbahan itu adalah di tapak kejadian di Jalan Masjid India, Wisma Yakin, Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Bank Pertanian di Lebuh Pasar dan berakhir di Jalan Kinabalu.

Dalam kejadian pada 8.22 pagi Jumaat, seorang wanita warganegara India, Vijayalectchumy, 48 terperangkap dan dikhuatiri tertimbus tanah jerlus sedalam lapan meter di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India.

Difahamkan mangsa sedang berjalan kaki dari Selangor Mansion ke arah Lebuh Ampang dan kemudiannya duduk di kerusi konkrit yang turut terjatuh bersamanya. – 24 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Related