KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sanggup melakukan apa sahaja bagi menutup aib dan kelemahan partinya yang kalah teruk pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri sehingga sanggup melabel Umno mengamalkan ‘politik dajjal’.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, menuduh sesama Islam menggunakan Dajjal sebagai senjata adalah keterlaluan dan hanya menyerlahkan kedangkalan pemikiran Hadi.
Justeru, katanya, tidak hairanlah mengapa Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara tegas menyatakan parti itu tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi Hadi menjadi presiden.
“Apa yang keluar dari mulut Hadi hanyalah pantulan dari politik kotor yang dihidangkannya sendiri. Tuduhan melulu dan fitnah tidak akan mengubah hakikat PAS kini semakin lemah, hilang sokongan dan tenggelam,’’ katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Semalam, Hadi menerusi tulisan dalam Minda Presiden PAS bertajuk ‘Politik Bohong dan Kebendaan Tetap Menjadi Pilihan Umno-PH’ mendakwa Umno yang rosak bersama Pakatan Harapan menjadikan konsep kebendaan sebagai agenda utama untuk menegak dan mempertahankan kerajaan.
Ia digunakan sebagai senjata dengan cara yang lebih daripada Dajjal.
PH pula, katanya menipu dengan slogan Rahmah yang dilaksanakannya, walhal ia merujuk sifat Allah Yang Maha Rahmah yang rahmat-Nya melimpah-ruah.
Dalam pada itu, Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata tindakan Hadi itu tidak menghairankan kerana beliau telah menggelarkan parti keramat Melayu itu dengan berbagai gelaran sejak berdekad.
Malah, katanya, Hadi tidak dapat menerima kekalahan ahli PAS yang dipinjamkan kepada Bersatu di Nenggiri hingga sanggup melabelkan Umno sebegitu rupa.
“Hadi kecewa bila calon pinjaman PAS yang ‘dilacurkan’ kepada Bersatu kalah dalam PRK Nenggiri. Kekalahan yang memalukan itu membuat Hadi menuduh Umno parti Dajjal.
“Sebenarnya dialah Dajjal munafik yang menjadikan Islam sebagai kuda tunggangan dengan menjual syurga dan neraka. Itulah sifat sebenarnya Dajjal. Sifat itu ada pada Hadi,” katanya.
Sementara Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri pula berkata, Presiden PAS terlupa kemenangan Ahli Parlimen PAS di Kemaman dibatalkan oleh Mahkamah Pilihanraya pada 26 September lalu kerana didapati terdapat sogokan pada berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurutnya, begitu juga kemenangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu turut dibatalkan oleh Mahkamah Pilihanraya pada 27 jun 2023 dengan alasan yang sama.
“Ada dalam kalangan ahli politik sepanjang PRK Nenggiri malah sebelumnya lagi mencipta dan mereka-reka pelbagai pembohongan dan berita palsu bagi mencipta pelbagai persepsi terhadap saingan politik.
“Surat layang dijadikan modal berbahas di Dewan Parlimen sehingga seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) diusulkan untuk digantung selama 6 bulan.
“Tidakkah sifat sebegini menepati ciri dan sifat “Dajjal” sebagaimana disebut oleh Rasulullah (saw)? Tepuk dada tanya ilmu dan iman,’’ katanya.
Jelasnya, politik gelar-menggelar, tuduh menuduh, mempersenda dan mencela saingan politik sesama Islam tidak sewajarnya dijadikan amalan untuk diikuti oleh pengikut dan pendokong kerana ia bercanggah dengan Islam. – 24 Ogos, 2024