
KUALA LUMPUR – Rakyat Palestin yang cedera dan mendapat rawatan di Malaysia tidak akan menetap di negara ini secara kekal, demikian tegas Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kritikan segelintir pihak di negara ini yang mempersoalkan langkah kerajaan memberikan rawatan kepada rakyat Palestin yang cedera susulan konflik di Gaza.
Bercakap kepada Scoop, Walid turut meluahkan rasa terkejut di atas reaksi negatif sesetengah pihak di Malaysia dan meminta supaya perkara itu dilihat dari aspek kemanusiaan, bukannya politik.
“Malaysia menerima rakyat Palestin yang cedera ini untuk rawatan. Mereka akan pulang sebaik sahaja selesai rawatan, memandangkan Malaysia tidak bercadang memberikan perlindungan secara kekal kepada mereka,’’ katanya.
“Sebagai duta, saya percaya, di sebalik perbezaan ini, isu mengenai Palestin menyatukan rakyat Malaysia.
“Saya benar-benar terkejut dengan tindak balas itu. Walaupun saya tidak melibatkan diri dalam politik Malaysia, saya sedar tiada inisiatif yang mendapat sokongan sebulat suara. Ia adalah normal untuk berdepan dengan pandangan yang berbeza.

Walid juga memuji Malaysia kerana menjadi negara pertama di Asia yang mengambil langkah berkenaan, sambil menyatakan negara seperti Turkiye, Mesir, Jordan, Qatar dan anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) sebelum ini menawarkan sokongan yang sama.
“Saya amat berterima kasih atas inisiatif Perdana Menteri. Ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia dan semua agensi yang terlibat. Kebaikan ke atas rakyat Palestin ini akan dikenang seumur hidup,’’ tambahnya.
Perang ke atas Gaza sejak Oktober tahun lalu yang dilancarkan oleh rejim Zionis kini bertukar menjadi pembunuhan beramai-ramai dengan kira-kira 40,000 penduduk Palestin terkorban.
Pada awal Ogos lalu, Walid memberitahu Bernama TV bahawa angka korban di Gaza melebihi 40,000 orang, dengan kira-kira 15,000 mangsa terperangkap di celah runtuhan akibat dibom.
Manakala Al-Jazeera pada 19 Ogos lalu, memetik Kementerian Kesihatan Gaza bahawa sekurang-kurangnya 40,139 rakyat Palestin terkorban, termasuk 16,500 kanak-kanak manakala lebih 94,743 orang cedera dan lebih 10,000 hilang.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan kekecewaan dengan sikap tindakan segelintir pihak yang mempersoalkan dan mencerca langkah kerajaan membawa rakyat Palestin yang cedera parah untuk dirawat di Malaysia.
Malah kata Anwar, ada yang turut mempertikaikan kenapa pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) digunakan dalam misi tersebut, bukannya pesawat komersil.
Pada 16 Ogos lalu, seramai 41 rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza, dengan diiringi 86 waris mereka selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara (PTU) Subang, dengan menaiki dua pesawat A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Misi itu dilaksanakan atas arahan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, selepas menerima permintaan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim. – 22 Ogos, 2024