Proses permohonan lesen penyedia platform media sosial dijamin tidak sukar: Fahmi

Kementerian Komunikasi dijangka menerima permohonan mendapatkan lesen daripada pengendali platform media sosial sekitar Oktober atau November ini

6:25 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi hari ini memberi jaminan bahawa proses permohonan lesen untuk membolehkan penyedia platform media sosial beroperasi di negara ini tidak sukar, kata menterinya Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan proses  permohonan lesen itu dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima hari bekerja.

Beliau berkata Kementerian Komunikasi dijangka menerima permohonan mendapatkan lesen daripada pengendali platform media sosial sekitar Oktober atau November ini.

“Kita beri jaminan kepada (penyedia) platform media sosial, memandangkan yang kita kenakan ini adalah ‘Class License’ maka prosesnya tidak sukar dibandingkan dengan ‘Individual License’.

“Kalau ‘Individual License’ mungkin akan ambil masa beberapa bulan untuk diproses tetapi bagi ‘Class License’, MCMC memaklumkan akan ambil masa tiga hingga lima hari bekerja,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Kerangka kawal selia atau perlesenan perkhidmatan media sosial yang diperkenalkan pada 1 Ogos dan berkuat kuasa mulai tahun depan, tidak melibatkan pengguna platform media sosial berkenaan.

Pada 27 Julai lepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Sementara itu Fahmi berkata pihaknya sedang giat melaksanakan sesi libat urus berhubung perlesenan perkhidmatan media sosial serta garis panduan tatalaku bagi platform media sosial dengan pihak berkaitan.

“Untuk bangunkan kod tatakelakuan platform, ada perbincangan yang akan diadakan bersama semua platform media sosial iaitu semua pemegang taruh, termasuk badan bukan kerajaan, ahli akademik dan pelbagai pihak.

“Kita percaya ia dapat diselesaikan menjelang hujung Oktober ini. Pada masa sama, proses libat urus dengan platform media sosial diadakan bagi memastikan mereka faham proses mengenai perlesenan yang akan teruskan,” katanya.

Merujuk kepada larangan penggunaan Telegram dalam kalangan penjawat awam di Belanda, Fahmi berkata kerajaan ketika ini belum mengambil sebarang ketetapan untuk melarang penjawat awam daripada menggunakan aplikasi itu. 

Beliau berkata isu berkaitan keselamatan yang membabitkan penjawat awam, diuruskan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).

“Kita belum mengeluarkan sebarang arahan, kebiasaannya aspek keselamatan ini diuruskan oleh CGSO, namun pada waktu ini kita belum menerima apa-apa arahan mengenainya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Majlis Perbandaran Amsterdam menggesa anggota Kabinet serta kakitangan peringkat tertinggi untuk berhenti menggunakan aplikasi Telegram kerana kebimbangan terhadap aktiviti jenayah dan risiko pengintipan. – 21 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related