KUALA LUMPUR – Inisiatif deposit Madani dengan nilai maksimum RM30,000 kepada pembeli rumah pertama merupakan antara cadangan yang dikemukakan dalam Belanjawan 2025.
Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ia adalah bagi meringankan komitmen bayaran bulanan pembeli rumah pertama terutama golongan belia dalam kalangan B40 dan M40.
“Ia juga selaras dengan dasar kerajaan ‘Rumahku Syurgaku’ dan bagi merealisasikan aspirasi kementerian supaya setiap rakyat memiliki tempat tinggal,’’ katanya.
Perkara berkenaan merupakan antara 33 cadangan inisiatif Belanjawan 2025 bernilai hampir RM1 bilion yang dikemukakan oleh KPKT kepada Kementerian Kewangan.
Antara cadangan yang dikemukakan termasuk pembangunan 100 Taman Rekreasi Madani, Deposit Madani, transformasi kolam takungan, perjanjian jual beli kediaman secara elektronik dengan E-stamping, dan lain-lain.
Belanjawan 2025 dijangka dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober ini.
Mengulas mengenai projek terbengkalai, Kor Ming berkata, sebanyak 704 projek sakit atau terbengkalai dengan jumlah nilai kasar RM58.94 billion sejak Januari 2023 berjaya dipulihkan.
Ia sekali gus membantu lebih 65,000 pembeli rumah untuk memiliki kediaman yang diidamkan.
“Kami menyasarkan supaya tiada lagi projek perumahan terbengkalai menjelang tahun 2030. KPKT akan meminda undang-undang supaya pemaju perumahan yang telah disabit kesalahan melakukan penipuan tidak akan dibenarkan keluar negara,’’ katanya.
Beliau memberitahu, KPKT akan mewujudkan akaun escrow yang bermakna semua wang yang dibayar oleh pembeli akan digunakan khusus untuk projek tersebut sahaja.
“Kini, tanpa akaun escrow, pemaju boleh memindahkan wang dari Projek A ke Projek B sehingga Projek A menjadi projek terbengkalai. Selepas pindaan ini, perkara sedemikian tidak akan dibenarkan lagi,” katanya. – 21 Ogos, 2024