Jangan jadikan ‘gaji rendah tidak setimpal kelulusan’ sebagai halangan cari kerja: Tinjauan

Graduan yang ditemui berkata, generasi muda perlu buang mentaliti 'aku ambil degree, tapi gaji ditawarkan sedikit'

12:00 PM MYT

 


AMPANG – Meskipun gaji tidak setimpal dengan kelayakan yang dimiliki, namun golongan muda tidak keberatan untuk bekerja asalkan mereka dapat menambah pengalaman daripada duduk di rumah dan tidak berbuat apa-apa.

Itu pandangan seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Nur Fatin Athirah Sarjana, 23, ketika ditemui Scoop pada Karnival Kerjaya Jelajah Jobcare Selangor 2024 daerah Hulu Langat yang berlangsung di Dewan Perbandaran, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, baru-baru ini.

Menurut Nur Fatin, golongan muda tidak sepatutnya memilih pekerjaan, sebaliknya berusaha keras mengumpul pengalaman kerja terlebih dahulu dan perlu membuang mentaliti lebih baik menganggur daripada bekerja di luar bidang pendidikan mereka.

Ini kerana menurutnya, majikan turut melihat pengalaman kerja sebagai satu kriteria utama dalam memilih pekerja baharu.

Nur Fatin Athirah Sarjana mencari pekerjaan di Karnival Kerjaya Jobcare Selangor kerana mahu mencari pengalaman kerja dan tidak kisah jika kerja itu mungkin tidak ada kaitan dengan bidang dipelajari – Gambar Scoop, 24 Ogos, 2024

“Generasi muda perlu buang mentaliti ‘aku ambil degree, tapi gaji ditawarkan sedikit’. Lebih elok mereka cari kerja untuk tambah pengalaman daripada duduk di rumah tidak berbuat apa-apa.

“Saya cuba mencari kerja di Karnival Kerjaya sebab sudah habis latihan industri pada Julai lalu dan lebih baik saya usaha buat sesuatu walaupun ia mungkin tidak berkaitan dengan bidang dipelajari demi mencari pengalaman kerja dahulu,” katanya.

Kira-kira 500 orang hadir pada Jelajah Karnival Kerjaya Jobcare peringkat daerah Hulu Langat yang menawarkan lebih 4,000 kekosongan jawatan daripada 31 majikan yang mengambil bahagian.

Jelajah Karnival Kerjaya Jobcare peringkat daerah Hulu Langat menawarkan lebih 4,000 kekosongan jawatan daripada 31 majikan yang mengambil bahagian – Alif Omar/Scoop, 24 Ogos, 2024

Tawaran kerja itu meliputi bidang profesional dan juga sokongan dengan tawaran gaji sehingga RM5,000.

Antara syarikat tersebut ialah Top Glove, KK Super mart, Aeon Co (M) Berhad, The Chicken Rice Shop serta Hartalega.

Sementara itu, Muhammad Faezal Shamsuddin, 26, yang mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula bertekad mencari pekerjaan baharu demi mengejar gaji yang lebih tinggi.

Muhammad Faezal Shamsuddin berpendapat, majikan perlu menawarkan gaji berpatutan setanding dengan pengalaman kerja selain daripada tahap pendidikan sahaja – Gambar Scoop, 24 Ogos, 2024

Menurutnya, dengan pengalaman kerja selama lapan tahun sebagai Quality Controller (QC) di sebuah kilang pembuatan, dia merasakan perlu meraih peluang kerja lebih baik, berbaloi dengan usahanya selama ini.

“Saya berhenti kerja untuk cari kerja dengan gaji yang lebih berpatutan. Bagi saya tak kisah buat kerja apa asalkan dapat kerja dengan gaji yang lebih tinggi berbanding kerja terdahulu.

“Bagi saya, majikan perlu menawarkan gaji berpatutan setanding dengan pengalaman kerja selain daripada tahap pendidikan sahaja,” katanya.

Sementara Pengurus Sumber Manusia Farmasi Kaisar, Sharifah Nur Alya Syed Azhar, 28, pula berkata sambutan memuaskan diterima daripada pengunjung hari ini.

Menurut Pengurus Sumber Manusia Farmasi Kaisar, Sharifah Nur Alya Syed Azhar, kebanyakan mereka yang hadir terdiri pada karnival kerjaya itu daripada lepasan universiti serta individu yang ingin mendapatkan pekerjaan baharu selepas dibuang kerja – Gambar Scoop, 24 Ogos, 2024

Farmasi Kaisar merupakan antara syarikat yang turut terlibat dalam karnival berkenaan.

Menurutnya, kebanyakan mereka yang hadir terdiri daripada lepasan universiti serta individu yang ingin mendapatkan pekerjaan baharu selepas dibuang kerja.

“Hari ini, farmasi kami tawarkan pelbagai jawatan sebagai ahli farmasi, pembantu farmasi dan pemandu.

“Rata-rata yang datang terdiri daripada golongan berusia awal 20-an, namun ada juga dari mereka yang berusia 35 tahun ke atas cuba mencari kerja baharu selepas dibuang kerja,” katanya. – 24 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

How is a ham sandwich ‘halal’? Akmal Saleh slams KK Mart outlet on UM campus

Umno Youth Chief says university students have lodged police reports over sandwich bearing halal stamp

Related