KUALA LUMPUR – Ketiadaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 yang bermula 21 Ogos ini merupakan langkah bijak bagi membolehkan Umno membincangkan isu-isu dalaman parti tanpa campur tangan pihak lain.
Bercakap kepada Scoop, penganalisis politik dari Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berkata keputusan untuk tidak melibatkan pemimpin luar juga dilihat bertujuan menjaga keharmonian di antara ahli Umno sendiri.
Malah ahli Umno, kata beliau, bebas membincangkan mengenai isu kedudukan parti itu dalam kerajaan, kepimpinan parti serta strategi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Awang Azman berkata, Umno juga bebas membincangkan strategi, pembaharuan dan penstrukturan semula yang diperlukan untuk memulihkan kedudukan parti itu.
“Dengan ketiadaan pemimpin luar (PH), akar umbi Umno berasa lebih bebas untuk menyuarakan pandangan mereka mengenai pelbagai isu panas tanpa rasa terhalang atau perlu menjaga sensitiviti Kerajaan Perpaduan.
“Keputusan ini juga bertujuan untuk menjaga keharmonian di dalam parti tanpa dipengaruhi faktor luar, membolehkan perbincangan yang lebih terbuka dan jujur dalam kalangan ahli dengan akar umbi,” katanya ketika dihubungi.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini berkata PAU 2024 yang akan berlangsung dari 21 hingga 24 Ogos ini tidak akan membabitkan kehadiran pemimpin utama Kerajaan Perpaduan, selain hanya pemimpin dari parti komponen Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, keputusan untuk tidak menjemput pimpinan parti politik khususnya PH serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah dipersetujui di peringkat Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan.
Tahun lalu, julung kali PAU menyaksikan kehadiran Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin DAP dan Parti Amanah.
PAU 2024 bakal menyaksikan kehadiran 6,433 perwakilan iaitu 2,939 orang perwakilan bagi PAU, 1,171 perwakilan Wanita; 1,173 sayap Pemuda serta 1,150 sayap Puteri.
Dalam pada itu, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Madya Azmi Hassan berkata, keputusan menongkah arus dengan tidak menjemput pemimpin parti lain merupakan satu langkah berani Umno yang wajar diberi pujian.
Menurutnya, ia akan memberikan kebebasan mutlak kepada setiap perwakilan Umno untuk membahaskan pelbagai perkara tanpa sebarang kekangan untuk melontarkan pandangan bagi penambahbaikan parti keramat itu.
“Jika ditinjau PAU tahun lalu, kehadiran pemimpin PH dikatakan kurang disenangi, bila mereka bersama-sama dalam dewan WTC (World Trade Center) itu.
“Itu sebab utama kali ini mereka tidak menjemput pemimpin PH, untuk beri kebebasan kepada akar umbi dan perwakilan membahaskan sesuatu isu tanpa ada kekangan.
“Keputusan ini juga menggambarkan Umno itu sendiri berani membuat keputusan menongkah arus dengan tidak mengajak pemimpin DAP (PKR, Amanah) dan saya yakin keputusan ini turut disenangi semua penyokong Umno termasuk kepimpinan di akar umbi,” katanya. – 20 Ogos, 2024