KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung Umno (PAU2024) yang akan berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos ini tidak akan menjemput mana-mana pimpinan utama parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebaliknya PAU2024 akan dibuat dengan keutamaan akan diberikan kepada keluarga Umno.
“Perkara ini telah dibincang dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan supaya PAU yang akan berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos depan mengutamakan keluarga Umno terlebih dahulu.
“Tahun pertama (dalam Kerajaan Perpaduan) kita buat jemputan. Insya-Allah mungkin tahun depan atau tahun sebelum PRU (Pilihan Raya Umum) biasanya begitu jugalah (buat jemputan).
“Tahun ini kita beri ruang untuk keluarga besar Umno berbincang secara kekeluargaan,” katanya pada sidang media sempena PAU 2024 hari ini.
Pada PAU2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) hadir pada perhimpunan itu selepas 25 tahun dipecat daripada Umno.
Kali terakhir beliau di pentas sama ialah pada Jun 1998 selaku timbalan presiden Umno, sebelum dipecat tiga bulan kemudiannya.
Selain itu Asyraf berkata, masih terlalu awal untuk membahas mahu pun membincangkan isu pemilihan jawatan tertinggi parti kerana tahun ini bukan tahun pemilihan.
“Saya rasa lambat lagi kita punya pemilihan, orang Umno ni selagi bukan tahun pemilihan dia tak membicarakan soal ini.
“Dari segi bahagian yang timbulkan, hanya satu sahaja… saya rasa tradisinya begitulah dalam Umno ini, memang kalau bukan mood pemilihan, ia tidak akan menjadi isu yang besar.
“Yang positifnya perbincangan di peringkat bahagian banyak sentuh soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat, jadi harus kita manfaat dalam PAU untuk fokuskan keberadaan kita dalam kerajaan dan ia akan jadi medan muhasabah penting, maknanya kita terbuka,” katanya.
Dalam pada itu ditanya mengenai kerjasama Umno bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah, beliau berkata perkara itu tidak akan dibincang secara terbuka.
“Ini soal strategik politik jadi biarlah ia dibincang secara tertutup dalam kepimpinan utama parti, terutama badan pimpinan Umno yang diberikan secara autonomi untuk mereka berbincang dengan Umno Sabah.
“Bahkan benda ini kita sentiasa bincang, tak perlu kita uar-uarkan,” katanya. – 14 Ogos, 2024.