Isu tanah peneroka: ‘Dia patut selesaikan semasa jadi Menteri’ Zahid tempelak Annuar Musa

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga sekali lagi menegaskan isu tanah peneroka Kesedar adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Pusat, bukan kerajaan negeri

3:58 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa sepatutnya menyelesaikan masalah tanah peneroka di Nenggiri ketika menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menempelak Pengarah Operasi Perikatan Nasional (PN) PRK Nenggiri itu selepas mencadangkan supaya tanah seliaan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) diberikan terus kerajaan negeri kepada peneroka tanpa melalui agensi kerajaan pusat.

“Saya tak mahu menyentuh mana-mana peribadi individu tetapi kalau individu itu pernah menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar, masalah itu sepatutnya diselesaikan ketika beliau menjadi Menteri.

“Kenapa semasa di Nenggiri perkara itu ditimbulkan, kegagalan masa dia (tapi), saya terpaksa selesaikan, kerajaan sekarang terpaksa selesaikan.

“Tepuk air didulang sekarang percik di muka dialah atas kelemahan dan kekhilafan dilakukan, (sekarang) kami terpaksa menanggung.

“Tapi tak mengapa demi rakyat, demi peneroka, peserta Kesedar dan lain di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), kita akan bantu selesai dengan kadar segera,” katanya yang juga Menteri KKDW kepada media selepas program di Jeram Tekoh, Gua Musang, hari ini.

Annuar sebelum ini menegur pengurusan Kesedar kerana masih tidak bersungguh-sungguh menyelesaikan isu tanah kepada peneroka biarpun sudah diluluskan permohonan Hakmilik Sementara (QT) oleh kerajaan negeri.

Isu membabitkan tanah Kesedar menjadi polemik apabila Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 3 Ogos lalu mendakwa agensi itu tidak memproses ribuan lot tanah diluluskan kerajaan negeri untuk diberikan kepada peneroka.

Susulan itu Timbalan Perdana Menteri berkata, Kesedar akan menyerahkan hak milik tanah seluas 7,000 hektar kepada peneroka dalam tempoh terdekat.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid sekali lagi menegaskan isu tanah peneroka Kesedar adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Pusat.

Justeru, beliau berkata dakwaan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud bahawa isu tanah peneroka Kesedar hanya boleh diselesaikan kerajaan negeri adalah tidak benar.

“Saya ingin balas tuduhan yang mengatakan tanah milikan Kesedar adalah tanah yang dimiliki oleh kerajaan Kelantan.

“Pada hakikatnya kita tahu Kanun Tanah Negara menyatakan, mana-mana tanah yang telah dibayar premium geran tanahnya di bawah Kesedar, ia adalah milik Kesedar,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Umno berkata, bagi tanah yang akan dipunyai peneroka atau peserta geran tanah besar di bawah Kesedar, pengagihan kepada peneroka atau peserta dan pemecahan lot tanah mesti mengikut proses yang ditentukan pejabat tanah.

“Jangan dalam kempen di Nenggiri rakyat terutamanya peserta dan peneroka di kawasan Kesedar dikelirukan pihak lawan dengan mengatakan ia adalah kuasa kerajaan negeri.

“Sedangkan saya beritahu, telah dibayar, geran besar telah diberi maka tanah itu kita telah dan sedang agihkan kepada lot kecil untuk diberi kepada peneroka dan peserta.

“Saya harap seluruh peneroka dan peserta serta keluarga bawah selian KKDW supaya jangan termakan dengan hasutan tersebut,” katanya. – 12 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

DAP not elitist: Zairil defends working-class commitment despite being in federal govt

Penang DAP vice-chairman says the party remains dedicated to social justice, pro-worker policies

Related