KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi secara sinis menyindir Pengarah Operasi Pilihan Raya Perikatan Nasional, Tan Sri Annuar Musa yang mengenakan pakaian mewah ketika berkempen di Nenggiri, baru-baru ini.
Menurut Puad, Annuar sepatutnya ‘berlakon’ dan tidak perlu mengenakan pakaian daripada jenama mewah ketika berkempen sambil melaungkan kesusahan hidup rakyat.
“Viral beberapa gambar Annuar Musa pakai barang jenama Louis Vuitton (LV). Baju LV. Jam tangan LV. Selipar pun LV. Ia ekoran Annuar pakai baju Louis Vuitton masa bagi maggi mi pada pengundi Orang Asli.
“Kesian Annuar. Tak salah dia pakai barang berjenama. Betullah, itu pitih (duit) dia. Tetapi berpada padalah. Lain kali jangan over (lebih) bila cakap rakyat hidup susah. Tetapi kamu pula pakai LV.
“Berlakonlah sikit. Pakai kopiah dan kain pelekat cop gajah duduk.
“Annuar kata ahli PAS yang tuduh DAP kafir harbi tersasul cakap. Tapi pakai baju Louis Vuitton tidak mungkin tersasul,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu menurut Instagram @beastlab_ , sweater putih dengan warna kuning hijau yang dipakai Annuar berharga sekitar RM13,100.
Manakala harga anggaran bagi model jam tangan berwarna Titanium White Iceberg yang dipakai oleh Annuar itu bernilai sekitar RM145,000. – 12 Julai, 2024