Ditolak suami ke dalam gaung sedalam 10 meter, wanita tidak percaya terselamat

Suami wanita itu direman tujuh hari bermula 6 Ogos lalu sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kerana cubaan membunuh

4:02 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seorang wanita tidak menyangka dia terselamat dan masih hidup selepas ditolak oleh suaminya ke dalam gaung sedalam 10 meter hingga mengalami kecederaan parah dalam kejadian di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, pada 27 Julai lalu.

Wanita itu, kini sudah kembali ke kampungnya di Kelantan dengan bantuan Murtadha Dakwah Centre (Madad) yang menghantarnya pulang, selepas selamat menjalani pembedahan dan dibenarkan keluar hospital.

Ketua Operasi Ambulans Madad, Muhammad Ridzuan Osman, 36, ketika berkongsi kisah yang memilukan itu kepada Scoop berkata, mangsa, yang tidak dinamakan adalah seorang ustazah dan akibat perbuatan suaminya, dia mengalami kecederaan tulang belakang, patah pinggang, tulang pinggul retak, patah tangan serta kecederaan pada paru-paru.

“Dia pun tak percaya akan terselamat, Allah tolong dia dan waktu itu memang anak-anaknya yang berusia lima bulan dan enam tahun sahaja yang ada di fikirannya,’’ katanya ketika dihubungi.

Ridzuan berkata, wanita itu yang berusia 32 tahun, telah menjalani pembedahan memasang besi pada bahagian tulang belakang dan memerlukan tempoh yang panjang untuk pulih sepenuhnya.

“Alhamdulillah keadaan dia dah stabil dan doktor memberikan kebenaran untuk keluar semalam, selepas lebih dua minggu dirawat.

“Dia menjalani pembedahan memasukkan besi di bahagian tulang belakang yang mengalami patah, pecah serta retak. Semasa dalam ambulans pun, dia tidak banyak bercakap kerana masih tidak berapa larat lagi (untuk berbual panjang),” katanya.

Menurut Ridzuan, mangsa turut menceritakan keadaannya selepas terjatuh ke dalam gaung dan mengumpul segala kekuatan untuk merangkak naik ke bahu jalan bagi mendapatkan pertolongan orang ramai.

Mangsa berkata dia terpaksa menunggu selama 30 minit sebelum seorang pengguna jalan raya memberhentikan kenderaan dan membantunya dengan menghubungi ambulans.

“Mangsa cerita ketika dia berusaha untuk merangkak naik ke bahu jalan, hanya anak-anak yang berada di fikirannya.

“Itu yang membuatkan dia terus kuat dalam tempoh sembilan jam walaupun kecederaan dia memang sangat parah.

“Mangsa cakap dia terpaksa menunggu selama 30 minit kerana sepanjang itu tiada kenderaan yang mahu berhenti tolong, sebelum muncul seorang individu yang baik hati berhentikan kereta dan membantu membuat panggilan kecemasan,” katanya.

Menurut Ridzuan lagi, mangsa dan dua anaknya kini dijaga oleh ahli keluarga wanita itu di Kelantan.

Terdahulu, Scoop melaporkan suspek berusia 39 tahun yang juga suami mangsa membawanya dari ibu kota menuju Perak atas alasan mahu pulang ke kampung kira-kira jam 5.30 petang, 27 Julai lalu.

Bagaimanapun sepanjang perjalanan itu berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua mereka yang turut membawa kepada mangsa dikasari selain diugut bunuh oleh suaminya itu.

Suspek disyaki cuba membunuh mangsa dengan cara mencekik serta menolak mangsa ke dalam gaung 10 meter hingga mengalami kecederaan patah dan retak tulang belakang.

Mangsa kemudiannya ditinggalkan di tempat kejadian dan dilapor merangkak naik ke arah jalan raya susulan kecederaan dialaminya sebelum dia ditemui orang awam.

Suspek direman tujuh hari bermula 6 Ogos lalu sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kerana cubaan membunuh. – 12 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

DBKL slices up Havoc Food Festival in Setapak as traffic complaints boil over

Nik Nazmi steps in after residents complain of congestion, authorities shut down unlicensed event

In latest book ‘Saving the Planet’, Nik Nazmi makes urgent call for climate action

New book offers a Malaysian perspective on the global environmental crisis, highlighting economic and social stakes of climate change

Sports budget allocation: is popularity winning over performance in 2025 funding?

As RM15 million goes to football and RM20 million to e-sports, critics question whether funding priorities reflect merit or strong networks in Malaysian sports

Related