KUALA LUMPUR – Seorang wanita lemas manakala tiga lagi hilang selepas sebuah bot nelayan dan tongkang berlanggar di kedudukan tujuh batu nautika atau 1 kilometer dari perairan Kuala Kemaman pada 6.30 pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Kemaman, Hanyan Ramlan, bot memancing itu membawa sembilan penumpang termasuk tekong, kru dan pelancong terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita berusia 23 hingga 79 tahun.
Beliau berkata, mereka berasal dari Raub, Pahang dan Gombak, Selangor.
“Mangsa yang meninggal dunia ialah seorang wanita, manakala yang hilang pula adalah dua lelaki dan seorang wanita. Tiga lelaki dan dua wanita yang lain terselamat.
“Kesan perlanggaran itu mengakibatkan bot nelayan terbalik lalu karam,’’ katanya, seperti yang dilaporkan Bernama.
Hanyan berkata, identiti mangsa terlibat masih dikenal pasti dan operasi mencari serta menyelamat sedang giat dijalankan. – 11 Ogos, 2024