KUALA LUMPUR – Taktik banduan menyeludup dadah dengan menggunakan dron berjaya dipatahkan oleh warden penjara susulan penemuan dron berwarna putih di atas bumbung Blok Aman, Penjara Tapah Road, Tapah, Perak.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, siasatan awal mendapati modus operandi membawa masuk dadah ke dalam penjara dengan menggunakan dron merupakan kes pertama diterima oleh polis.
Jelasnya, kejadian itu disedari oleh sarjan penjara pada jam 11.30 pagi ketika membuat rondaan bersama anggota penjara pada 9 Ogos lalu sebelum membuat laporan polis pada jam 5 petang, hari yang sama.

“Hasil pemeriksaan yang dibuat oleh sarjan penjara itu menjumpai beg dobi yang digantung pada dron tersebut dan di dalamnya terdapat satu peket plastik lut sinar mengandungi tiga peket plastik berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin seberat 122 gram.
“Turut ditemui ialah dua peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 12.9 gram,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azizi memberitahu, polis memandang serius kes melibatkan penyeludupan dadah dan menjalankan siasatan secara menyeluruh ke atas penjenayah kes-kes penyeludupan dadah terutama melibatkan penjara.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seskyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,’’ katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak yang menyalurkan maklumat serta membantu polis membanteras jenayah. – 10 Ogos, 2024