Sembunyi, tidak daftar perkahwinan cetus pelbagai ‘penderitaan’, berisiko nikahi mahram

Berdasarkan rekod pihak berkuasa agama, terdapat banyak kes perkahwinan yang dilaksanakan secara sembunyi atau sindiket, sama ada di dalam atau luar negara

8:20 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Umat Islam perlu menghebahkan dan mendaftarkan pernikahan kerana ia bukan sahaja tuntutan Islam dan undang-undang di Malaysia, tetapi juga bagi mengelakkan pelbagai kesulitan, ‘penderitaan’ serta fitnah di masa depan.

Menerusi khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bertajuk ‘Perkahwinan Yang Disembunyikan’ dibacakan mimbar hari ini, pernikahan yang tidak didaftarkan atau disembunyikan, boleh memberi banyak impak atau kesan buruk kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Katanya, berdasarkan rekod pihak berkuasa agama, terdapat banyak kes perkahwinan yang dilaksanakan secara sembunyi atau sindiket, sama ada di dalam atau luar negara.

Malah, lebih buruk, jelasnya, perkahwinan itu tidak diusahakan untuk didaftarkan pasangan sehingga ke tahap anak mereka dewasa dan ingin berkahwin.

Ujarnya, terdapat pihak mendaftarkan perkahwinan selepas keadaan mendesak, sehingga pihak pendaftar perkahwinan di jabatan agama Islam didesak dan dimarahi, sedangkan kecuaian daripada mereka sendiri.

“Perkahwinan adalah satu ikatan melalui akad nikah yang sah, demi menghalalkan hubungan antara lelaki dengan perempuan hidup bersama sebagai suami isteri dan melaksanakan hak serta tanggungjawab masing-masing, namun keindahan ini adakala dicemarkan sikap negatif suami atau isteri.

“Sebuah perkahwinan yang sah mestilah diiktiraf, bukanlah disembunyikan dengan kata lain, mesti direkod dan didaftarkan mengikut undang-undang…pada masa kini, masih terdapat pihak menyembunyikan status perkahwinan daripada pengetahuan wali, keluarga atau isteri kerana kepentingan tertentu.

“Terdapat banyak sebab mengapa perkara ini boleh berlaku, seperti berkahwin dengan bukan warganegara yang tidak mempunyai rekod diri jelas, berkahwin kerana keterlanjuran pasangan dan poligami,” katanya.

Mengulas terperinci mengenai kesan buruk apabila perkahwinan tidak didaftarkan atau disembunyikan itu, mimbar memberikan lima penjelasan, iaitu pertama menyebabkan penganiayaan terhadap isteri.

“Isteri yang kematian suami menghadapi kesukaran menuntut harta pusaka kerana tiada bukti wujudnya pendaftaran perkahwinan…hanya arwah suami mengetahui segala urusan dan proses pernikahan sindiket mereka.

“Keadaan ini menambahkan kesukaran untuk isteri menguruskan pendaftaran secara persendirian demi menuntut hak dalam pusaka arwah suami,” katanya.

Kesan kedua, katanya, akan mewujudkan penipuan status diri bagi tujuan perkahwinan lain kerana status seseorang itu, tidak dapat dibuktikan sama ada bujang, duda atau sudah berkahwin.

“Akibatnya terdapat kes suami yang berpoligami tanpa kebenaran dan ada juga kes isteri mempunyai dua suami.

“Ketiga, penganiayaan terhadap anak kerana anak yang dilahirkan hasil perkahwinan tidak berdaftar, akan didaftarkan kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara sebagai anak tidak sah taraf,” katanya.

Keempat, katanya, berlaku kecelaruan nasab atau keturunan apabila perkahwinan yang tidak didaftarkan, boleh menyebabkan berlaku pernikahan mahram sama seperti dalam kalangan adik-beradik, ibu atau bapa saudara dan sebagainya.

“Perkara ini akan memberi kesan terhadap perkahwinan terbabit kerana perlu difaraq atau dipisahkan.

“Kelima, berlaku kesukaran bagi anak perempuan untuk berkahwin kerana perkahwinan bapanya tidak didaftarkan secara rasmi.

“Ia memberi tekanan dan kesukaran kepada anak untuk melengkapkan dokumen permohonan perkahwinan mengikut peraturan dan prosedur ditetapkan,” katanya.

Dalam khutbah itu, mimbar mempersoalkan sama ada sanggupkan seorang bapa menganiaya anak, hanya kerana keengganan, keegoan dan kelalaian untuk memastikan perkahwinannya diiktiraf?

“Sanggupkah seorang suami itu membiarkan nasab keturunannya tidak diiktiraf dari sudut undang-undang hanya kerana enggan mendaftarkan perkahwinan?

“Sanggupkah seorang suami membiarkan balunya merintih atas kesan buruk yang mereka terima selepas kematiannya? Adakah seorang suami yakin nikah disembunyikan itu adalah nikah sah mengikut syarak?” soalnya. – 9 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related