KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim menegaskan peruntukan RM700,000 disediakan kerajaan PAS Kelantan, sememangnya tidak sampai ke tangannya selaku wakil rakyat.
Bercakap kepada Scoop, bekas wakil rakyat Bersatu itu mendakwa, sebaliknya untuk membolehkan peruntukan itu disalurkan, ia perlu melalui beberapa exco kerajaan negeri.
Malah, Azizi berkata, dakwaan beliau sudah menggunakan 10% atau RM72,000 daripada peruntukan itu juga, pembohongan kerajaan PAS tanpa fakta tepat.
Katanya, sedangkan tuntutan dibuatnya itu adalah bagi program Skim Beras Hitam untuk kempennya sebagai calon menggunakan logo PAS ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu,namun pejabat khidmatnya tidak pernah menerima satu pek beras pun.
“Peruntukan RM700,000, memang ada, tapi untuk mendapatkannya perlu melalui beberapa exco negeri. Persoalannya adakah exco itu menerima kehadiran saya selaku wakil rakyat di situ?
“Peruntukan yang ada mereka tak bagi kat saya, bagi kepada orang PAS, Yang Dipertua (YDP) kawasan, Timbalan YDP kawasan, ketua muslimat PAS.
“Jadi saya minta Menteri Besar Kelantan untuk rujuk Timbalan YDP PAS kawasan Nenggiri (Mohd Sidek @ Mohd Saupi Abd Razak) dan tanya, berapa pek beras dia beri kepada saya sejak saya jadi Adun Nenggiri,” katanya.
Azizi berkata, beliau juga mencabar Mohd Saupi bersama Menteri Besar untuk sama-sama bersumpah di masjid.
“Saya juga cabar dia (Mohd Saupi) bersama Menteri Besar untuk kita sama-sama bersumpah di masjid, pilih saja mana-mana masjid dan beritahu berapa pek beras dia beri kepada saya.
“Jadi yang saya pertikai adalah peruntukan itu untuk DUN dan saya sebagai Adun, tetapi fungsi kerja diberikan kepada orang PAS di DUN Nenggiri untuk laksana, rakyat kawasan saya orang susah saya boleh nak tolong sebab PAS nafikan kuasa saya,” katanya.
Semalam Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud berkata, Mohd Azizi sudah disalurkan dengan peruntukan lebih RM700,000 oleh Kerajaan Kelantan bagi membangunkan kawasan diwakilinya.
Beliau mendedahkan, daripada jumlah dana yang diperuntukkan itu, Azizi hanya menggunakan kira-kira RM72,000.
Katanya, jumlah yang dimanfaatkan bekas Adun itu adalah kira-kira 10 peratus daripada peruntukan disediakan iaitu sebanyak RM713,500.
Ia susulan kenyataan terdahulu Azizi yang mendakwa beliau dinafikan hak ketika menjadi Adun di kerusi berkenaan, selain tidak pernah menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri.
Beliau yang diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu, turut mencabar pimpinan PAS mengemukakan bukti bahawa beliau menerima peruntukan sehingga menggelarkan dirinya tamak.
Selain itu, mengulas gambar yang ditunjukkan pimpinan PAS mengenai agihan beras hitam, Azizi berkata, sumbangan berkenaan disampaikannya ketika berkempen pada PRN lalu.
“Memang ada tuntutan dibuat bagi bayaran menjalankan program dan sebagainya, sehingga DUN Kelantan kosongkan kerusi, saya rasa lebih kurang RM72,000 , membabitkan skim beras hitam.
“Saya pergi ke Pejabat Tanah, tuntutan bayaran bagi 36,000 pek beras hitam, tapi ditulis di situ sudah dibayar kepada DUN Nenggiri.
“Sedangkan satu pek pun saya tidak terima beras tu, beras dihantar ke pejabat PAS kawasan Nenggiri, bukan pejabat saya, jadi kenapa nak declare (isytihar) itu peruntukan saya, cakaplah peruntukan untuk PAS DUN Nenggiri, bukan untuk wakil rakyat, sedangkan saya wakil rakyat di situ,” katanya.
Tambah beliau, pertikaian mengenai perkara itu sudah dibawanya ke pengetahuan pucuk pimpinan tertinggi Bersatu, namun tiada maklum balas jelas.
“Sampai ke Setiausaha Agung dan Presiden parti, tapi presiden beri reaksi tidak mengapalah PAS nak bagi saya jadi Perdana Menteri agaknya lepas ini.
“Saya kata bukan isu itu (beri jawatan atau tak) sebab itu sebelum saya menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan, isu inilah sebenarnya yang saya bawa ke pengetahuan pimpinan Bersatu,” katanya.
Beliau memahami tiada peruntukan diterima sebagai ahli Parlimen pembangkang, namun mempersoalkan kenapa peruntukan tidak sampai kepadanya sebagai Adun kerajaan dan wakil rakyat PAS di Nenggiri.
“Contoh tular di TikTok muslimat PAS kata peruntukan untuk membantu golongan wanita sudah diberi, difahamkan peruntukan itu banyak, lebih RM300,000 daripada keseluruhan peruntukan itu RM700,000 itu.
“Tapi senarai penerima ikut senarai diberi muslimat PAS, cek bayaran masuk akaun muslimat, jadi mana fungsi saya sebagai wakil rakyat?
“Sebab itu saya rasa macam semak, sebab saya selaku Adun PAS daripada Bersatu, tetapi saya tidak diberi peranan kerja dan melaksana tugas saya,” katanya. – 9 April, 2024