Keadaan di UK masih tegang tapi rakyat Malaysia pilih tidak pulang ke tanah air

ketegangan hanya berlaku di beberapa bandar seperti Liverpool, Manchester, Bristol, Blackpool dan Hull serta Belfast di Ireland Utara, manakala kawasan lain masih dalam keadaan terkawal

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Di sebalik ketegangan yang memuncak di United Kingdom (UK) akibat ancaman berterusan daripada kumpulan protes sayap kanan, kebanyakan rakyat Malaysia yang menetap di sana memilih untuk tidak pulang ke tanah air.

Ini kerana ketegangan itu hanya berlaku di beberapa bandar seperti Liverpool, Manchester, Bristol, Blackpool dan Hull serta Belfast di Ireland Utara, manakala kawasan lain masih dalam keadaan terkawal.

Shahfizal Zainuddin, 39, seorang warga Malaysia yang menetap di Leeds berkata, situasi masih belum reda sepenuhnya, dan orang ramai masih dalam keadaan berjaga-jaga.

Menurutnya, setakat ini, di bandar Leeds tiada kes kecederaan membabitkan rakyat Malaysia.

Shahfizal Zainuddin yang menetap di Leeds berkata, situasi masih belum reda sepenuhnya, dan orang ramai masih dalam keadaan berjaga-jaga – Gambar ihsan, 9 Ogos, 2024

“Walaupun ada insiden seorang individu membawa senjata di hadapan University of Leeds, pihak polis berjaya mengawal keadaan dan menahan suspek tanpa sebarang insiden lebih buruk berlaku.

“Situasi di UK masih tegang, namun kebanyakan rakyat Malaysia di sini memilih untuk kekal dan tidak merancang untuk pulang ke tanah air buat masa ini.

“Keadaan masih terkawal dan langkah berjaga-jaga telah diambil oleh pihak berkuasa serta komuniti setempat,” katanya yang menetap di Leeds sejak dua tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau menarik nafas lega apabila pihak polis menambah bilangan pegawai bertugas untuk memantau kawasan yang dikenal pasti berpotensi untuk berlakunya insiden rusuhan.

“Rusuhan yang pada mulanya tercetus di England kini menular ke Wales, namun Scotland dan Ireland masih terkawal.

“Di Scotland, misalnya, komuniti Muslim yang terdiri daripada rakan ekspatriat dan pendatang asing disambut baik oleh penduduk tempatan,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Luar (Wisma Putra) menasihati rakyat Malaysia yang menetap di UK untuk menjauhi kawasan protes, sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta panduan diberikan oleh pihak berkuasa tempatan – Gambar fail Scoop, 9 Ogos, 2024

Jelasnya lagi, pihak berkuasa UK turut meningkatkan kawalan keselamatan dengan menggunakan pelbagai teknologi termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan media sosial untuk mengesan dan mengenal pasti pesalah terbabit dalam rusuhan tersebut.

“Kebanyakan, mereka yang terlibat termasuk individu dengan rekod jenayah yang serius, termasuk jenayah seksual.

“Buat masa ini, aktiviti sosial dan riadah juga dihentikan buat sementara waktu, dengan kedai diusahakan peniaga Muslim dinasihatkan untuk menutup operasi mereka lebih awal,” katanya.

Sementara itu, Atiqah Tarmuji, rakyat Malaysia yang menetap di Birmingham, melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan anak-anaknya, terutama anak sulungnya yang berada di sekolah menengah.

“Dalam keadaan sekarang, saya sentiasa menekankan kepada anak-anak saya kepentingan bergerak secara berkumpulan dan tidak bersendirian,” kata Atiqah.

Walaupun terdapat pergolakan di bandar-bandar lain, beliau dalam temu bual dengan Bernama menyifatkan Birmingham masih agak selamat ketika ini.

Atiqah Tarmuji di Birmingham pula melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan anak-anaknya, terutama anak sulungnya yang berada di sekolah menengah – Gambar ihsan, 9 Ogos, 2024

Terdahulu, Kementerian Luar (Wisma Putra) menasihati rakyat Malaysia yang menetap di UK untuk menjauhi kawasan protes, sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta panduan diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.

Media antarabangsa melaporkan pihak berkuasa UK berhadapan tekanan yang semakin meningkat pada Ahad lalu untuk menamatkan rusuhan terburuk England dalam tempoh 13 tahun selepas insiden pembunuhan kanak-kanak yang sekali gus mencetus kekacauan melibatkan perusuh sayap kanan di seluruh negara.

Pergolakan berkaitan maklumat yang salah mengenai insiden tikaman beramai-ramai yang membunuh tiga remaja perempuan minggu lalu merebak ke beberapa pekan dan bandar pada Sabtu lalu ketika penunjuk perasaan anti-imigresen bertempur dengan polis.

Pergeseran itu merupakan ujian besar kepada Perdana Menteri UK, Keir Starmer yang baru sebulan lalu terpilih menerajui negara selepas parti Buruh meraih kemenangan besar dalam pilihan raya umum negara itu. – 9 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

RM13 bil Penang Mutiara Line LRT to boost connectivity, set for 2031 completion

The 29.5-kilometre line with 21 stations aims to enhance travel across Penang and drive economic growth

DBKL slices up Havoc Food Festival in Setapak as traffic complaints boil over

Nik Nazmi steps in after residents complain of congestion, authorities shut down unlicensed event

In latest book ‘Saving the Planet’, Nik Nazmi makes urgent call for climate action

New book offers a Malaysian perspective on the global environmental crisis, highlighting economic and social stakes of climate change

Related