Suspek culik Albertine didakwa atas 15 pertuduhan, miliki bantal ‘anime kanak-kanak perempuan bogel’

Lapan daripada pertuduhan itu dibuat di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan tujuh di Mahkamah Majistret Kulai, Johor

3:12 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suspek kes penculikan kanak-kanak perempuan, Albertine Leo Jia Hui, 6, didakwa atas 15 pertuduhan, masing-masing lapan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan tujuh di Mahkamah Majistret Kulai, Johor hari ini.

Penganggur berusia 31 tahun itu didakwa atas pertuduhan penculikan, kurungan salah dan amang seksual ke atas budak perempuan berusia enam tahun, selain mengumpul dan memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Leang Win Son mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan bagi semua pertuduhan, selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Hakim Rasidah Roslee.

Di mahkamah berkenaan, pertuduhan ke atas suspek dilakukan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana didakwa menculik mangsa daripada penjagaan sah di sisi undang-undang, iaitu ibunya di Eco Galleria, Taman Botani, Iskandar Puteri pada kira-kira jam 8.30 malam, 20 Julai lalu, dengan ia boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa dengan niat curang membuat pengurungan salah ke atas kanak-kanak itu yang mana pengurungan terbabit, tidak boleh diketahui polis di dalam bilik sebuah hotel di Jalan Mahagoni 9, Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor pada kira-kira jam 4.45 pagi, 23 Julai lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 346 Kanun Keseksaan itu, memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman pula, tertuduh menghadapi enam lagi pertuduhan dengan empat daripadanya, dia didakwa mengumpul sebanyak 5,317 gambar dan video, iaitu bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak di dalam dua kad SD, cakera keras dan telefon bimbit di sebuah rumah di Jalan Bunga Raya 2, Taman Sri Kulai dekat Kulai, kira-kira jam 4 petang, 24 Julai lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 8(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat tidak kurang tiga kali, jika sabit kesalahan.

Bagi dua lagi pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki bahan pornografi kanak-kanak, iaitu 30 keping gambar penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak dalam sebuah telefon bimbit di bilik sebuah hotel di Jalan Mahagoni 9, Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor kira-kira jam 4.45 pagi, 23 Julai lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bukan setakat itu, dia juga didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan membuatkan seorang kanak-kanak menunjukkan badan supaya dapat dilihat dengan cara membuka pakaian mangsa dalam bilik hotel yang sama, di antara jam 12.30 tengah hari pada 22 Julai lalu hingga 4.45 pagi, 23 Julai lalu.

Lelaki belum berkahwin itu didakwa mengikut Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selesai prosiding di Kompleks Mahkamah Johor Bahru, tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai untuk berdepan tujuh lagi pertuduhan yang difahamkan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan, dengan memperuntukkan hukuman maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Namun, Win Son mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Azureen Sahira Sauffee Afandi.

Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh didakwa memiliki tiga bantal panjang masing-masing berwarna putih, hijau dan putih merah jambu bergambar anime kanak-kanak perempuan bogel, selain satu bantal panjang berwarna putih bergambar anime kanak-kanak perempuan berseluar pendek.

Manakala, pertuduhan kelima hingga ketujuh menyaksikan tertuduh didakwa memiliki tiga alat sulit wanita palsu.

Terdahulu, suspek yang mengenakan kemeja-t warna hitam, berseluar jeans biru pendek dan tangan bergari, tiba di mahkamah dengan menaiki kenderaan polis dan diiringi beberapa anggota.

Dia turut dilihat mengenakan pelitup muka dan hanya menundukkan kepala ketika dibawa masuk ke ruang mahkamah semasa foto serta videonya dirakam petugas media.

Lelaki itu adalah suspek kelima yang diberkas susulan kes penculikan Albertine, selepas empat individu lain ditahan polis pada 22 Julai dan 23 Julai lalu, berhubung kes sama.

Penahanannya dibuat polis pada jam 4.45 pagi, 23 Julai lalu di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor yang menyaksikan kanak-kanak itu berada bersamanya, sebelum suspek direman tujuh hari dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat tempoh terbabit.

Ahad lalu, suspek kelima itu ditahan semula dan direman enam hari hingga Sabtu ini, susulan penemuan pelbagai alat mainan seks, bahan pornografi dewasa dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak di kediamannya di Kulai.

Empat suspek lain berusia 28 hingga 55 tahun yang ditahan sebelum ini, direman empat hari hingga 26 Julai lalu.

Semua mereka dibebaskan dengan jaminan polis dan tempoh reman tidak disambung.

Albertine disedari hilang oleh bapanya pada kira-kira jam 8.30 malam, 20 Julai lalu ketika berada di sebuah pusat beli-belah di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri.

Dia dikatakan memakai baju-T berwarna putih tertera gambar ‘Mickey Mouse’ di dada dan berseluar pendek, dengan memiliki ketinggian kira-kira 120 sentimeter, berambut panjang warna hitam, berkulit cerah serta tubuh sederhana kurus.

Susulan laporan polis dibuat bapa mangsa pada tengah malam 21 Julai lalu, polis berusaha menjejaki kanak-kanak itu di seluruh negara, dengan kerjasama media dan masyarakat.

Kes itu turut diklasifikasikan semula daripada kehilangan kepada melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah. – 8 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Related