Umno Kelantan sindir Bersatu ‘perjuangan senipis kulit bawang’

Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Zawawi Othman berkata, Bersatu adalah parti yang ditunggang oleh mereka yang kecewa dan ingin lari daripada permasalahan sendiri

9:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perjuangan Bersatu di Kelantan semakin rapuh malah diibaratkan ‘senipis kulit bawang’ apabila semakin ramai ahlinya hilang kepercayaan dan bertindak keluar parti.

Bercakap kepada Scoop, Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Zawawi Othman berkata, keputusan dibuat ahli Bersatu itu juga membuktikan ia tiada kaitan dengan dakwaan Umno mengguna ‘taktik lapuk’ setiap kali pilihan raya.

Sebaliknya ahli Bersatu, katanya, rasa terhina dengan strategi pucuk pimpinan yang mengemukakan calon PAS untuk mewakili Bersatu di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.

“Itu yang membuatkan mereka tidak yakin dengan perjuangan Bersatu, yang mana perjuangan Bersatu ini hanya menjadi ‘Wok Long’ atau ‘ Wok Yoh’ (satu watak ‘sampingan’ dalam wayang kulit) kepada PAS.

“Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor pun bekas Umno, pernah jadi pemimpin dalam Umno, tapi beliau sebenarnya sudah hilang daya pimpinan dan kepimpinan hari ini begitu lemah, bukan Umno kata, tapi ahli Bersatu di akar umbi.

“Bersatu ini adalah parti yang ditunggang oleh mereka yang kecewa dan ingin lari daripada permasalahan sendiri.

“Bersatu ini hanya satu perjuangan yang nipis umpama kulit bawang,” katanya.

Terdahulu, lebih 1,000 pimpinan dan ahli Bersatu membabitkan lapan cawangan di Jeli, Kelantan mengumumkan keluar parti hari ini selepas hilang keyakinan terhadap pimpinannya.

Bekas Timbalan Ketua Cawangan Bersatu Kedai Kuala Balah, Rodzi Muhammad berkata, keputusan itu dibuat kerana Bersatu dilihat lemah dalam percaturan politik, terutama isu pemilihan calon di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Katanya, lapan cawangan Bersatu di Jeli itu membabitkan Lawang, Asahan, Batu Gajah, Kedai Kuala Balah, Legeh, Nibong, Jedak Tua dan Kubur Datu.

Sebelum itu juga seramai 480 ahli Bersatu daripada 12 cawangan di DUN Nenggiri diketuai bekas Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Gua Musang, Che Ariffin Hussin, mengumumkan keluar parti dan menyertai Umno.

Mengulas lanjut, Zawawi yang juga Ketua Umno Pasir Puteh berkata, keputusan ahli Bersatu itu juga tidak ada kaitan dengan Umno.

“Umno tidak pernah menarik ahli Bersatu untuk bersama cuma kita membuka pintu sekiranya merasa mereka tertipu secara mutlak dalam soal PRK nenggiri ini.

“Kalau kita lihat bekas Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan, Zul (Mohd Zulkifli Zakaria) keluar sertai DAP tahun lalu.

“Ramai lagi ahli Bersatu yang sertai Umno daripada kalangan mereka yang kepimpinan sederhana, namun itu tidak diuar-uarkan,” katanya. – 8 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related