KUALA LUMPUR – Keputusan Hamas memilih pemimpin Gaza, Yahya Sinwar sebagai pengganti Ketua Biro Politik kumpulan pejuang itu, Ismail Haniyeh yang dibunuh baru-baru ini, dianggap sebagai tindakan lebih agresif dan genius.
Aktivitis kemanusiaan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menegaskan, Sinwar calon paling layak saat ini untuk mengambil alih kedudukan berkenaan.
Malah, katanya, keputusan Hamas itu adalah ‘mesej besar’ kepada Israel bahawa menerusi Sinwar, kumpulan terbabit yang sudah puas ‘bertarik-tali’ dan berdiplomasi’, akan membuat keputusan mendatang dengan lebih keras serta tegas, iaitu ‘hitam atau putih’.
“Meremang bulu roma bila dengar Sinwar dilantik menggantikan Ismail Haniyeh.
“Sinwar orang paling sesuai berdepan dengan (Perdana Menteri Israel) Netanyahu, mereka sama keras kepala dan susah bertolak-ansur.
“Kalau Haniyeh terkenal dengan ‘kami tidak akan mengiktiraf Israel, Sinwar terkenal dengan perkataan ‘khawah rughma anfih’, iaitu ‘lantak kau nak ke tak nak, aku akan buat juga’,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Nadir berkata, pemilihan Sinwar juga akan menyaksikan perang di Gaza menjadi perang pembebasan dan bukan perang ke arah langkah pembebasan, malah beliau bakal menggerakkan catur untuk sampai ke tahap ‘checkmate’.
Katanya, pemilihan Sinwar akan memastikan kuasa dikembalikan kepada Gaza kerana selayaknya mereka menentukan masa depan gerakan pada masa ini.
Beliau berkata, Sinwar lebih dikenali sebagai mujahid dan bukan orang politik, justeru kuasa sayap bersenjata disatukan dengan kuasa politik.
“Sinwar antara pengasas briged Al-Qassam dengan nama Al-Majd di awalnya.
“Komunikasi di antara pimpinan sayap bersenjata dan sayap politik ternyata tidak putus walaupun Yahya Sinwar tidak pernah dilihat sejak 7 Oktober 2023,” katanya.
Lebih hebat, Nadir berkata, jika disoal berapa lama Sinwar boleh bertahan di dalam terowong mengetuai perang, jawapannya adalah beliau cukup ‘kebal’.
“Sinwar dipenjara selama 23 tahun oleh penjajah, empat tahun daripadanya beliau duduk di dalam ‘solitary confinement’ (kurungan) seorang diri dan hanya bercakap dengan semut.
“Bermakna setakat memerintah dari dalam terowong ibarat syurga untuk beliau!
“Kalian (tentera Israel) sudah memenggal kepala (Khalifah) ‘Abu Bakar’ yang lemah-lembut untuk digantikan dengan ‘Umar Al-Khattab’ yang bengis dan kasar!” tegasnya bagi menggambarkan kehebatan Sinwar.
Mengulas lanjut, Nadir berkata, beliau tidak pernah terfikir Hamas akan mengambil keputusan itu, malah difikirannya membayangkan beberapa nama lain.
Semasa ditanya program Analisa TV Al-Hijrah dua hari lalu mengenai siapa yang akan menggantikan Haniyeh, beliau menyebut bahawa ia bergantung kepada strategi pembawaan Hamas selepas ini.
Menurutnya, sekiranya Hamas mahu ‘ride the wave’ (mengikut arus) perubahan politik antarabangsa dan sokongan yang semakin meningkat kepada Palestin, kumpulan berkenaan akan melantik diplomat, iaitu Khaled Mesha’al.
“Kalau mereka mahu memberikan kuasa dan fokus kepada Gaza, mereka akan melantik Khalil Al-Hayyh. Saya menyebutkan yang saya cenderung kepada Khalil kerana Khalil anak Gaza yang berdepan 1001 ujian di Gaza bersama penduduknya dan mereka mahukan orang dari dalam.
“Sentimen Khalil dekat kepada rakyat kerana mempunyai anak yang syahid dan anak-anak lain terkenal berada bersama barisan mujahidin, (malah) Khalil mengetuai negosiasi gencatan senjata saat ini.
“Rupanya Hamas mengambil tindakan lebih agresif dan genius,” katanya.
Hamas menamakan Sinwar sebagai pengganti pemimpin kumpulan pejuang itu kerana beliau dianggap arkitek serangan paling dahsyat ke atas Israel dalam beberapa dekad.
Pelantikan itu diumumkan ketika Israel bersiap sedia berdepan risiko sama ada diserang Iran berikutan pembunuhan Haniyeh, baru-baru ini.
Berdasarkan latar belakang kehidupannya, Sinwar yang menghabiskan separuh hayat dewasanya di penjara Israel dikenali sebagai pemimpin Hamas paling berkuasa yang masih hidup selepas pembunuhan Haniyeh.
Dilahirkan di kem pelarian di bandar selatan Gaza di Khan Younis, Sinwar, 61, dipilih sebagai ketua Hamas di Gaza pada 2017.
Khabar mengenai pemilihan itu pastinya tidak disenangi Israel apabila ketua jurucakap tenteranya, Daniel Hagari, dilaporkan menyalahkan Sinwar atas serangan antara negara berkenaan dengan Gaza sejak 7 Oktober.
Terdahulu, Hamas mengesahkan Haniyeh dan pengawal keselamatannya terbunuh dalam satu serangan peluru berpandu di kediamannya di Tehran, pada 31 Julai lalu.
Berita sedih itu diumumkan menerusi kenyataan dari Kor Pengawal Revolusi Iran dan akaun rasmi Telegram Hamas.
Ketika itu, Haniyeh, 62, berada di Tehran bagi menghadiri acara angkat sumpah Presiden Iran baharu, Masoud Pezeshkian, sehari sebelumnya.
Haniyeh sememangnya pemimpin kanan paling berkuasa Hamas yang menjadi sasaran tentera Israel sejak sekian lama. – 7 Ogos, 2024