Kalau ada kata saya berhenti TLDM kerana buat kesalahan, mereka berdosa: Rizwadi

Mohd Rizwadi Ismail menamatkan perkhidmatan secara rasmi sebagai anggota TLDM pada Januari 2015

12:09 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Calon Bersatu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya beliau berhenti daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kerana melakukan kesalahan.

Menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas, beliau berkata, keputusan untuk berhenti awal sebagai anggota tentera sudah dirancangnya selepas 13 tahun menceburi profesion berkenaan.

“Sudah ada dalam perancangan saya nak berhenti awal ya, 13 tahun dah boleh berhenti dah, (jadi) kalau ada dalam TikTok dia kata saya berhenti kerana ada kesalahan tu nak buat macam mana.

“Tak apalah semoga dia menipu, boleh dosa dia saya boleh pahala,” katanya menerusi video ceramah di Gua Musang, Kelantan malam tadi.

Beliau berkata, sepanjang 13 tahun berkhidmat sebagai tentera bersama TLDM, dirinya ditugaskan di beberapa lokasi, termasuk di Labuan, Kota Kinabalu dan di tempat khas, iaitu stesen uniform.

“Apa-apa jadi pun di situlah saya ditugaskan selama setahun dan selepas itu, saya balik ke Semenanjung untuk kenaikan pangkat Laskar Kanan.

“Saya minta di Sabah pula tak boleh, dia tak bagi dah, orang lain duduk Sabah nak minta balik ke sini pun tak boleh juga, saya duduk sini nak ke sana tak boleh duduk pasal lama dah duduk sana,” katanya.

Menurutnya, dia menamatkan perkhidmatan secara rasmi sebagai anggota TLDM pada Januari 2015 dan mengambil keputusan pulang menetap di Bertam Lama, Nenggiri.

Rizwadi berkata, selepas pulang ke kawasan berkenaan, beliau melakukan kerja kemasyarakatan dan membantu penduduk sekitar.

Pada 2017, katanya, beliau pulang ke Gua Musang dan berbekalkan pengalaman sedia ada dalam berkhidmat kepada rakyat serta mempertahankan negara, tumpuannya adalah mendekati dan membantu masyarakat.

“Tentera ni tegas tapi tak bekeng (bengis)…dalam hati ada taman…tengok bos saya ni nampak muka bekeng saya tengok saya takut, tapi dalam hati ni lain dia bersama dengan masyarakat ni dia lain.

“Dan pengalaman saya dalam dunia dakwah saya akan gunakan sepenuhnya sebab kita ni politik, kita ni bukan politik dunia sahaja, politik kita untuk dunia dan akhirat, kita mencari keredhaan Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, ada pengguna media sosial mendakwa Rizwadi berhenti daripada kerjayanya dalam TLDM kerana melakukan kesalahan tertentu.

Justeru, ada pihak mempertikaikan sekiranya benar, bagaimana dia boleh dilantik sebagai calon untuk berkhidmat kepada rakyat.

Sejak awal dicalonkan untuk bertanding mewakili Perikatan Nasional pada PRK DUN Nenggiri, Rizwadi menjadi sasaran beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan pemilihannya.

Difahamkan, ia termasuk susulan Rizwadi dikatakan baru menyertai Bersatu daripada PAS dua hari sebelum diumumkan sebagai calon.

Pemilihan beliau adalah untuk bertanding sebagai calon Bersatu, namun menggunakan logo PAS.

Justeru, ia dikritik beberapa pihak yang menyifatkan Bersatu ketandusan calon, hingga terpaksa mengambil ahli PAS menyertai parti itu. – 7 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

How is a ham sandwich ‘halal’? Akmal Saleh slams KK Mart outlet on UM campus

Umno Youth Chief says university students have lodged police reports over sandwich bearing halal stamp

Related