Projek perumahan baharu perlu ada blok rumah Madani: PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu merupakan syarat penting yang ditetapkan bagi memastikan projek perumahan baharu dapat diluluskan, sekali gus memanfaatkan rakyat

12:37 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarah menyediakan blok perumahan Madani untuk setiap projek baharu, bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat memiliki rumah. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu merupakan syarat penting yang ditetapkan bagi memastikan projek perumahan baharu dapat diluluskan, sekali gus memanfaatkan rakyat.  

“Syaratnya mesti ada satu atau dua blok rumah Madani untuk rakyat memanfaatkan… kerana perumahan Madani untuk menyantuni kepentingan bukan sahaja penjawatan awam, tetapi kelompok B40 dan M40 yang lebih susah.

“Orang kaya, buatlah rumah banyak mana pun berapa puluh juta pun buatlah, saya tak peduli…tetapi rakyat yang lain harus dibantu, sebab itu mengapa jentera kerajaan harus dikerahkan supaya menyelesaikan masalah perumahan yang sangat rumit. Saya lihat senarai 60,000 orang menunggu untuk dapat rumah bandar raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Perumahan Penjawat Awam Malaysia Madani di Bandar Sri Permaisuri di sini hari ini. 

Anwar berkata syarat tersebut merupakan satu ketegasan kerajaan hari ini, kerana mengambil kira projek perumahan terdahulu yang tidak menekankan kepentingan rumah mampu milik untuk rakyat.

“Sebab itu saya kata kalau tegas pimpinannya, tegas penjawat awam, banyak boleh selesai kerana kalau tak tegas, dia dapat setengah juta, dia tutup kes sebab itu dulu – tiada penekanan seperti hari ini. 

“Blok ratio, syarat hijau, taman, tapak sekolah, itu semua ‘tersakau’ kerana tidak memikirkan soal rakyat,” katanya. 

Justeru beliau sekali lagi mengingatkan supaya semua pihak tidak memandang ringan soal tatakelola, rasuah dan ketirisan kerana perkara itu mempunyai kesan kepada nasib rakyat. 

Beliau berkata sekiranya amanah dapat dijaga, negara boleh dibersihkan daripada jenayah rasuah dan sekali gus meningkatkan kedudukan negara di rantau ini. 

Menyentuh nilai ringgit yang menunjukkan kadar peningkatan yang baik ketika ini, Anwar mahu faedah nilai mata wang negara itu digunakan secara langsung kepada rakyat dengan menyediakan projek yang boleh memanfaatkan mereka. 

“Sebab itu di Wilayah Persekutuan dari awal saya tekankan mesti beri penekanan projek-projek yang menyantuni rakyat secara langsung,” katanya. – 6 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Related