KUALA LUMPUR – Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) menggesa pihak pengurusan dan pekerja filem tampil mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi tawaran Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Bercakap kepada Scoop, Presiden Profima, Khalil Saleh berkata, sehingga kini ramai kru dan pelakon masih belum mencarum SKSPS walaupun kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi telah membuat inisiatif menaja 4,500 pekerja untuk caruman sepanjang tahun ini.
Sehubungan itu Khalil berharap pihak penerbit, pekerja kru (freelancer) dan golongan pelakon terbuka hati mengambil peluang dengan mencarum skim perlindungan tersebut untuk kebaikan masa depan bersama.
“Profima mendesak semua pengurusan (syarikat produksi/penerbit) dan pekerja kru termasuk pelakon tampil mencarum dengan Perkeso.
“Walaupun kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi telah mengeluarkan inisiatif dengan menaja kadar caruman seramai 4,500 orang namun sehingga hari ini jumlah yang mendaftar masih lagi sedikit, boleh kata lebih 50% masih belum mendaftar.
“Profima memang mengharapkan penerbit dan semua orang industri buka mata. Inilah peluang supaya kita dapat bekerja dengan lebih selesa, tak perlu nak risau kalau kemalangan tidak dapat apa-apa sebab Profima sudah banyak kali dapat kes, kru cedera di tempat kerja tapi bila periksa tengok tiada sebarang caruman dibuat mereka,” katanya.
Pada April lalu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengambil inisiatif menaja 4,500 penggiat seni tanah air bawah SKSPS Perkeso dengan jumlah keseluruhan tajaan bernilai RM104,850.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, tajaan itu adalah 10% daripada jumlah caruman SKSPS bernilai RM232.80 setahun yang perlu dibayar oleh setiap pencarum bagi skim perlindungan berkenaan.
Menerusi skim itu, 90% caruman itu dibayar kerajaan manakala 10% lagi dibiayai Finas, sekali gus pencarum tidak perlu membayar amaun tersebut bagi tahun ini.
Pengarah dan penerbit, Michael Ang pula berkata, sehingga ke hari ini dia masih mengamalkan pengambilan insurans untuk pekerja-pekerja kru serta barisan pelakon yang terlibat dalam penerbitan drama milik syarikat produksinya, Cube Film Sdn Bhd.
Menurutnya, jika di masa akan datang Finas mewajibkan pengambilan Perkeso, dia akan mengikut syarat tersebut agar tidak melanggar undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkaitan.
“Syarikat produksi saya setiap kali shooting, pasti akan beli insurans untuk kru. Saya sudah biasa dengan perkara itu, sekurang-kurangnya pekerja saya dilindungi (dengan pembelian insurans mengikut projek drama).
“Bagi saya secara peribadi, saya lebih suka beli insurans untuk pekerja kru kerana kalau mereka demam atau sakit, bila pergi klinik boleh claim dengan syarikat insurans.
“Namun begitu, sekiranya selepas ini pihak terlibat (Finas) mewajibkan (untuk carum Perkeso kepada semua pekerja industri perfileman), saya akan bayar dan ikut (peraturan),” katanya.
Setiap penggambaran drama, filem, iklan di Malaysia perlu mendapatkan kelulusan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) daripada Finas terlebih dahulu.
Begitupun pada 2022 satu garis panduan baharu telah dimasukkan ke dalam SPP iaitu menggalakkan semua penerbit untuk mencarum Perkeso bagi memastikan pekerja-pekerja perfileman mendapat perlindungan daripada skim SKSPS. – 9 Ogos, 2024