PRK Nenggiri: PAS izin Rizwadi jadi ahli Bersatu ibarat kakak tolong adik

Isu Rizwadi sebagai calon Bersatu sengaja dipolitikkan pihak tertentu memandangkan tiada isu lain yang boleh dibangkitkan pada PRK Nenggiri

12:41 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – PAS menegaskan tidak timbul isu pemilihan bekas ahlinya, Mohd Rizwadi Ismail yang menyertai Bersatu untuk mewakili Perikatan Nasional (PN) bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri kerana hubungan kedua-dua parti itu ibarat adik-beradik.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pimpinan tertinggi PAS termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang merestui sendiri tindakan Mohd Rizwadi.

“PAS dengan Bersatu ini ibarat dua beradik dalam keluarga yang dipanggil PN. PAS adalah kakak manakala Bersatu, adik. Satu hari adik (Bersatu) kata dekat kakak (PAS), dia ada kebun getah yang luas di Nenggiri.

“Anak jantan ada dua, tiga orang tapi kalau boleh nak seorang lagi. Jadi adik (Bersatu) minta anak kakak (PAS) jadi anak angkat nak usahakan kebun getah. Maka kakak (PAS) tiada masalah kalau beri pun (sebab), anak saudara adik (PAS) dia juga.

“Jadi begitulah situasi Rizwadi ini. Kita mengizinkan dan kenyataan Presiden PAS sendiri kata beliau merestui dan mengizinkan Rizwadi sebagai ahli PAS ini menjadi ahli Bersatu dan menjadi calon mewakili PN di Nenggiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di Kampung Bertam Lama, di Gua Musang, Kelantan malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, isu Rizwadi sebagai calon Bersatu sengaja dipolitikkan pihak tertentu memandangkan tiada isu lain yang boleh dibangkitkan pada PRK Nenggiri.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pimpinan tertinggi PAS termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri tindakan Mohd Rizwadi. – Gambar FB Takiyuddin Hassan, 4 Ogos 2024

“Sebagai ahli PAS kita tidak ada masalah untuk kepentingan dia ini (Rizwadi) layak mewakili Bersatu, kita mengizinkan.

“Tak ada masalah… tapi pihak tertentu kalau pilih Rizwadi pun ada masalah, kalau pilih orang lain bangkit perkara lain pula.

“Kalau pilih asal orang Bersatu pun ada saja. Tak ada modal dah, tak ada point mereka nak mainkan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, mengumumkan Mohd Rizwadi sebagai calon daripada Bersatu untuk bertanding mewakili PN pada PRK DUN Nenggiri, 17 Ogos depan.

Lebih mengejut ada sumber mendakwa, Mohd Rizwadi dikatakan baru menyertai Bersatu dua hari sebelum diumumkan sebagai calon.

Semalam, SPR mengumumkan PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan PAS.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda Umno Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala pencabarnya, Mohd Rizwadi daripada PAS yang juga bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). – 4 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related