KUALA LUMPUR – Pelajar tingkatan dua, Muhammad Effzaldanish Mohd Affendi, 14, yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah selepas tamat waktu persekolahan pada 29 Julai lalu, ditemukan selamat hari ini.
Mengesahkan perkara itu kepada Scoop, Ketua Polis Daerah Muar, Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata, Muhammad Effzaldanish pulang sendiri ke kediamannya kira-kira jam 11 pagi ini.
“Ya sudah pulang,” katanya.
Terdahulu, polis giat menjalankan operasi pencarian Muhammad Effzaldanish yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah selepas tamat waktu persekolahan pada Isnin lalu.
Perkara itu menimbulkan kembimbangan dalam kalangan ahli keluarganya.
Sebelum kehilangan, Muhammad Effzaldanish didakwa dilihat berjalan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin Riayat Shah 1, Pagoh yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah neneknya, dengan lengkap berpakaian seragam sekolah.
Selepas waktu persekolahan, pada kira-kira jam 2 petang, neneknya mula menyedari dia masih belum pulang dan meminta bantuan daripada ahli keluarga untuk menjejakinya.
Muhammad Effzaldanish menetap bersama nenek sejak berusia tiga tahun, selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser payudara. – 31 Julai 2024.