KUALA LUMPUR – Dua rakyat Malaysia ditahan ketika cuba menyeludup 15.38 kilogram dadah bernilai RM3.7 juta ke Maldives.
Ia merupakan rampasan dadah yang terbesar di Maldives pada tahun ini.
Dadah berkenaan ditemui di dalam bagasi seorang warga Malaysia berusia 44 tahun yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Velana dengan menaiki penerbangan Emirates EK656 dari Dubai pada pagi Sabtu.
Menurut Ketua Supritendan Kastam, Mohamed Afzal, penemuan itu membawa kepada penahanan seorang lagi rakyat Malaysia berusia 41 tahun, pada malam 28 Julai lalu, lapor The Edition.
“Kastam menemui tiket palsu pada suspek semasa pencarian. Mereka mengembara ke Maldives, melalui Bangkok ke Dubai dan Dubai ke Maldives,” katanya.
Kedua-dua mereka ditahan reman selama 5 hari.
Jelasnya, pihak berkuasa mengesyaki penglibatan individu dari empat negara dalam kes ini, namun tiada penglibatan daripada penduduk setempat dikesan setakat ini. – 29 Julai, 2024