Wanita, teman lelaki ditahan subahat peras ugut suami

Terdahulu, tular di media sosial, hebahan mangsa meminta bantuan orang ramai mengesan isteri dan tiga anaknya yang tidak sampai ke kampung halaman mereka

3:28 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seorang ibu tiga anak dan teman lelakinya ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kluang, Johor kerana bersubahat melakukan pemerasan terhadap suami wanita terbabit.

Ketua Polis Daerah Pontian, Mohammad Shofee Tayib berkata, tangkapan dibuat susulan laporan dibuat suami kepada wanita terbabit pada 26 Julai lalu selepas menerima ugutan daripada individu tidak dikenali meminta wang RM2,000 jika mahu isteri dan tiga anaknya selamat.

Menurutnya, kedua-dua suspek kemudian direman empat hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Berdasarkan laporan diterima Jumaat lalu, wanita itu bersama tiga anaknya dihantar suaminya ke perhentian bas di Kampung Sepakat Jaya, Pekan Nanas untuk pulang ke kampung di Kota Tinggi.

“Bagaimanapun, lelaki itu gagal menghubungi isterinya selepas itu, malah ibu mentua yang dihubungi pula memberitahu isteri dan tiga anaknya tidak ada di Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keesokan harinya lelaki terbabit yang berusia 41 tahun menerima mesej di aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali meminta wang RM2,000 jika mahu isteri dan anaknya pulang dengan selamat.

Katanya, bimbang dengan keselamatan isteri dan tiga anaknya, lelaki itu membuat laporan polis.

“Bertindak atas maklumat, polis menjalankan dua serbuan berasingan di kawasan Kluang dan berjaya menangkap isteri dan teman lelakinya disyaki bersubahat melakukan pemerasan terhadap mangsa,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, tular di media sosial, hebahan mangsa meminta bantuan orang ramai mengesan isteri dan tiga anaknya yang tidak sampai ke kampung halaman mereka di Kota Tinggi, Johor. – 28 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related