KUALA LUMPUR – Seorang pemuda direman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan kes cabul seorang bayi perempuan berusia lima bulan dalam kejadian di Kubang Kerian, Kelantan.
Suspek berusia 30-an itu ditahan reman sehingga 1 Ogos ini mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.
Terdahulu, lelaki berkenaan tiba di Mahkamah Kota Bharu, Kelantan dengan memakai baju lokap dan diiringi polis.
Lelaki berkenaan yang juga anak kepada pengasuh bayi berkenaan ditangkap semalam susulan laporan polis yang dibuat oleh ibu bapa mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Mohd Rosdi Daud mengesahkan lelaki itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan lanjut berhubung kejadian itu. – 26 Julai, 2024