KUALA LUMPUR – Umno Kelantan menegaskan tidak pernah menyebut nama mana-mana pemimpin yang dihalang daripada hadir berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri walaupun tapisan akan dilakukan.
Bercakap kepada Scoop, Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Zawawi Othman berkata, empat nama individu yang disebut dalam surat Barisan Nasional (BN) yang tular sememangnya tiada dalam pengetahuan pihaknya.
“Dulu saya kata kita akan tapis, mengikut kehendak Pengarah Pilihanraya Tengku Razaleigh Hamzah, dia nak benarkan siapa, itu tertakluk kepadanya. Kita hanya menjalankan tugas.
“Kita dalam kalangan (parti) Kerajaan Perpaduan tidak ada masalah atau kontroversi. Cumanya dikaitkan oleh fitnah pihak lawan. Biarlah mereka nak guna cara itu, biar pengundi menentukan.
“Kalau tengok (nama) Wan Mahussin pun ada. Kita tak pernah pun menyatakan nama-nama terbabit… tidak pernah. Sama ada Rafizi (Ramli), (Datuk) Lokman (Noor) Adam atau siapa pun (akan melalui tapisan itu),” katanya hari ini.
Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan parti itu melarang empat individu termasuk Rafizi (Menteri Ekonomi) dan Lokman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno daripada tampil di pentas ceramah PRK Nenggiri.
Zahid berkata, BN tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut dan menyifatkan ia sebagai mainan politik untuk memecahbelahkan perpaduan di dalam kerajaan.
Dua lagi individu lain yang dikaitkan dalam dakwaan tersebut ialah Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno bahagian Jeli, Wan Mahussin Wan Zain dan seorang pempengaruh dikenali sebagai Wan Hadi.
Mengulas lanjut, Zawawi berkata, Umno Kelantan kekal meneruskan tapisan seperti dimaklum sebelum ini supaya tidak berlaku suasana jelik atau perkara tidak diingini sepanjang kempen berlangsung.
“Kalangan pemimpin ada disuarakan, individu yang menimbulkan ‘kepanasan’ tidak kira daripada mana, sebelah kita ini (kerajaan), kita tak nak. Kita tidak hendak pilihan raya ini berlaku suasana yang jelik dan perkara tidak diingini.
“Takkan lah kita nak keluarkan penceramah yang gagap, atau tidak tahu fakta.
“Kita secara tatatertibnya akan mengemukakan penceramah atau pembentang mahupun individu yang tidak akan menimbulkan kontroversi dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai saranan Veteran Umno supaya DAP tidak perlu turun padang bagi membantu kempen calon Umno di Nenggiri, Zawawi berkata, serangan ke atas pihak lawan yang sepatutnya ditumpukan pihak dalam parti kerajaan.
“Kita bertanding atas satu kumpulan, kenapa kita tak sebut pihak lawan. DAP pun dah tahu, semua orang dah tahu mana atau apa tempat mereka.
“Saya bukan pertahankan mana-mana pihak, tetapi kaedah dan cara hari ini kita kena kenal siapa musuh kita maka di situlah sasaran kita,” katanya.
Tegasnya, parti dalam kerajaan harus bekerjasama dan berusaha mencari jalan untuk memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah politik pembangkang.
“Di situlah (pentas ceramah) kita nak beritahu kepada rakyat dan pengundi bahawa lawan kita ini akan menyusahkan, tidak ada masa depan, tiada hala tuju dan mereka mempunyai satu politik ekstrem.
“Pada masa sama, mereka berpecah, hari ini calon pun belum diumum. Adakah ini satu strategi atau bakal menjadi tragedi dalam kalangan mereka,” katanya. – 27 Julai, 2024