KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis, Muhammad Alif Monjani didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu atas tuduhan membunuh bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah.
Tertuduh yang berpangkat Lans Koperal dan bertugas di Perak, telah ditahan pada 15 Julai lalu.
Pertuduhan ke atas Muhammad Alif dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Kes itu disebut di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.
Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di Taman Universiti, Tanjung Malim.
Pada 15 Julai lalu, mayat wanita itu ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Felda Gedangsa, Hulu Selangor kira-kira jam 6 petang.
Susulan penemuan mayat itu, suspek ditahan pada hari sama, sebelum direman seminggu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan.
Pada 22 Julai lalu, Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemukan dompet dipercayai milik mangsa di Sungai Trolak, Kampung Batu 4, Trolak, Perak.
Dompet itu ditemukan pada jam 12.20 tengah hari ketika operasi pencarian bahan bukti di sungai terbabit.
Kad pengenalan (MyKad) mangsa juga masih ada dalam dompet berkenaan.
Unit Forensik Sub Akuatik PDRM turut menemukan dua anak kunci tidak jauh dari lokasi dompet ditemukan.
Pasukan itu menemukan barangan tersebut pada jam 11.20 pagi pada jarak 50 meter dari jambatan lokasi suspek membuang barang mangsa.
Sebelumnya polis berjaya menemukan telefon pintar milik mangsa di dalam parit ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Felda Gedangsa. – 26 Julai, 2024