Busana kontinjen Olimpik Malaysia ‘The Malaya’ rekaan Rizman Ruzaini raih pelbagai reaksi

Rekaan elegan yang berona hijau zaitun itu mendapat pujian ramai, namun bagi penduduk Sabah dan Sarawak pemilihan nama The Malaya dianggap seolah-olah meminggirkan mereka

10:04 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Segak bergaya! Itu pujian netizen sebaik sahaja rekaan busana The Malaya yang akan digayakan kontinjen Malaysia pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 itu dikongsikan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi laman Instagram miliknya sebentar tadi.

Rekaan serba menawan daripada duo pereka fesyen terkemuka negara, Rizman Ruzaini itu diberi julukan The Malaya yang diinspirasikan daripada perjuangan pahlawan Melayu sebelum era kemerdekaan.

Menurut Rizman, idea tersebut sekali gus menggambarkan simbolik perjuangan atlet yang membawa harapan besar negara untuk memburu pingat emas pertama Malaysia menerusi edisi Olimpik kali ini.

Koleksi The Malaya yang berona hijau zaitun merangkumi persalinan baju Melayu Teluk Belanga yang dilengkapi songkok dan sampin untuk atlet lelaki.

Bagi atlet wanita pula manis berbaju kurung songket dengan kelubung sekali gus menyerlahkan ciri-ciri adat dan budaya ketimuran.

Dalam perkongsian itu, MOM menjelaskan Rizman Ruzaini dipelawa sendiri badan sukan tersebut pada Januari lalu bagi sama-sama berkongsikan gambaran busana yang bakal digayakan kontinjen Malaysia di Paris nanti.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen berasa kagum dengan rekaan The Malaya yang disifatkan sangat elegan sekali gus dapat bersama-sama menaikkan imej negara di mata dunia.

“Yass elegan ini yang kami mahukan,” kata @ainasfhmz.

“Simple namun (tetap) elegan dan klasik,” kata @nadiahyusop_.

“Now these are lit! Bukannya baju melayu ketat menyendat, tak pun terlalu oversize tu. Kudos,” kata @fizi94.

Sementara itu, penduduk Sabah dan Sarawak ternyata agak kecewa dengan julukan The Malaya, seolah-olah meminggirkan rakyat di kedua-dua negeri itu sebagai anak Malaysia.

Menurut mereka, adalah lebih wajar sekiranya nama busana itu ditukar bagi menggambarkan kepelbagaian kaum di negara ini, tanpa ‘menyisihkan’ mana-mana pihak.

“Baju kurung/baju melayu pun dipakai luas di Sabah dan Sarawak dan Malaya merujuk kepada Semenanjung Malaysia sahaja, bagaimana dengan kami (dari) Borneo, Sabah dan Sarawak?” kata pengguna X @kyushhi1.

“The Malaya adalah satu nama yang buruk/teruk. Ini Malaysia (Malaya + Sabah + Sarawak). Adakah kami dari Malaysia Timur ini tidak wujud?” soal @chupphey.

“Suruh jelah RR tu jual baju tradisonal Melayu. The Malaya? Patut koleksi tunjuk Malaysia. Kita pi (pergi) Olimpik tahun 2024 ke 1924?” soal @shades_salvator.

“The Malaya untuk acara global pada skala ini. Oklah malas nak cakap banyak, mereka memang tak mahu dengar juga. Rupa-rupanya kita tidak wujud, jadi mengapa membuang ‘nafas’ saya,” kata @BeeBalan.

Upacara pembukaan edisi ke-33 temasya akan berlangsung di Sungai Seine, Paris pada Jumaat (26 Julai), jam 7.30 petang waktu tempatan (1.30 pagi Sabtu waktu Malaysia).

Secara rasmi, seramai 26 atlet akan menggalas cabaran negara yang terdiri daripada 13 lelaki dan 13 wanita.

Mereka akan bersaing dalam 10 jenis sukan, antaranya badminton, terjun, renang, pelayaran, menembak, memanah, berbasikal, angkat berat, golf dan olahraga. – 25 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Related