Penyanyi Zubir Khan akui berdebar mahu jumpa keluarga Zulfarhan, ‘saya takut mereka terlebih sedih’

Zubir dikatakan mirip wajah Zulfarhan ketika tersenyum, merancang berkunjung ke kediaman keluarga arwah di Johor Bahru bulan depan

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penyanyi Zubir Khan yang dikatakan mirip Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain merancang untuk bertemu dengan ibu bapa Pegawai Kadet Laut dan bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu bulan depan.

Bercakap kepada Scoop, Zubir berkata, dia mahu meluangkan masa berkunjung ke kediaman ibu bapa Zulfarhan yang terletak di Bandar Uda Utama, Johor Bahru bagi mengubati kerinduan mereka sekeluarga terhadap arwah.

Bagaimanapun, katanya yang terkenal dengan lagu bahasa Tamil, Yennode Macha, tiada sebarang tarikh ditetapkan kerana dia masih mencari masa sesuai memandangkan kes kematian Zulfarhan baru saja mendapat keadilan.

“Bagi masa dulu untuk mereka, kalau (kes ini) berlaku kepada keluarga saya pun, saya akan ambil masa untuk bertemu sesiapa.

“Tapi Insya-Allah saya akan pergi dalam minggu depan, mungkin 4 atau 9 Ogos nanti. Perlu beri masa dalam seminggu dua ini (kepada keluarga), lepas itu baru saya akan berjumpa mereka,” katanya.

Kelmarin, tular di media sosial apabila netizen mula mengaitkan wajah Zubir mirip Allahyarham Zulfarhan yang maut akibat didera oleh beberapa rakan seuniversiti selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakannya, tujuh tahun lalu.

Susulan itu, netizen berharap penyanyi berkenaan dapat meluangkan masa bertemu dengan keluarga arwah untuk mengubati kerinduan mereka.

Mengulas lanjut, Zubir berkata, dia teruja dan pada masa sama berdebar-debar mahu bersemuka dengan keluarga Zulfarhan terutamanya ibu mangsa, Hawa Osman.

Kata Zubir, memandangkan kes baru beberapa hari mendapat keadilan, dia percaya sekarang bukan masa yang sesuai untuk bertemu keluarga Zulfarhan kerana mereka pasti masih merasa ‘sakit’ dan takut. – Gambar Instagram, 26 Julai, 2024

“Memandangkan kes ini baru beberapa hari dapat keadilan, saya rasa sekarang bukan masa yang sesuai sebab mungkin keluarga arwah masih rasa ‘sakit’ dan takut.

“Saya pun rasa berdebar-debar, takut keluarga terutamanya ibu arwah nanti terlebih sedih sebab netizen kata muka saya ada iras arwah lebih-lebih lagi bila saya tersenyum,” katanya.

Dalam pada itu, Zubir yang sentiasa mengikuti perkembangan kes Zulfarhan menzahirkan rasa lega kerana kematian anak sulung daripada empat beradik itu akhirnya mendapat pembelaan sewajarnya.

“Saya memang ikut perkembangan kes Zulfarhan. Saya bersyukur sebab Allahyarham sudah mendapat pembelaan dan keadilan yang sewajarnya. Alhamdulillah Allah dah bagi,” katanya.

Terdahulu, enam bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada Selasa lalu selepas didapati bersalah membunuh Allahyarham Zulfarhan.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali yang kesemuanya kini berusia 28 tahun.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengembalikan semula tuduhan bunuh terhadap mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – 26 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Related