KUALA LUMPUR – Perbuatan menemui tukang ramal (dukun) atau bomoh untuk mengubati sihir atau mendapatkan nasihat dan pandangan mengenai sesuatu urusan adalah haram di sisi agama Islam.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi satu perkongsian di Facebook memaklumkan, ini kerana perbuatan tersebut jelas membawa kepada pergantungan selain kepada Allah SWT.
“Hukum pergi kepada tukang ramal (dukun) bagi meminta mengubati sihir yang dihadapi adalah haram.
“Begitu juga bagi tujuan mendapatkan nasihat dan pandangan mengenai sesuatu urusan daripada tukang ramal adalah haram,” katanya.
Menurutnya, perbuatan itu boleh membawa syirik kepada Allah SWT.
“Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada perkara-perkara yang boleh membawa kepada syirik kepadaNya dan mengurniakan kepada kita kefahaman dalam mengamalkan suruhanNya,” katanya.
Larangan tersebut dikongsi Jakim selepas kes Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain yang mati dibunuh akibat dibuli tujuh tahun lalu kembali hangat diperkatakan baru-baru ini.
Ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang menjatuhi hukuman gantung sampai mati kepada enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana didapati membunuh Zulfarhan.
Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali yang kesemuanya kini berusia 28 tahun.
Umum mengetahui kematian menyayat hati Zulfarhan berpunca apabila namanya disebut oleh seorang ‘bomoh’ dalam cubaan mengesan pencuri komputer riba (laptop) milik salah seorang pelajar.
Difahamkan ‘bomoh’ terbabit merupakan bapa kepada salah seorang pelaku dalam kes pembunuhan anak sulung daripada empat beradik itu.
Larangan Mendatangi Tukang Ramal (Dukun)
— JAKIM (@MyJAKIM) July 24, 2024
Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada perkara-perkara yang boleh membawa kepada syirik kepadaNya dan mengurniakan kepada kita kefahaman dalam mengamalkan suruhanNya. pic.twitter.com/6tqt1pcy4l
Sementara itu, pejabat Mufti Wilayah Wilayah Persekutuan menjelaskan, umat Islam yang bertemu tukang sihir dan mempercayainya, maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam.
“Perlu difahami bahawa sihir tidak mungkin dilawan dengan sihir. Begitu juga kejahatan tidak mampu untuk membatalkan kejahatan yang lain. Yang mampu membatalkannya hanyalah Allah SWT,” katanya.
Menurutnya, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-33 yang bersidang pada 11 Oktober 1993 berkenaan Amalan Ilmu Hitam/Sihir memutuskan perbuatan sihir adalah dosa besar dan boleh membawa kepada syirik dan hukum mempelajarinya adalah haram.
Malah, pengamal sihir yang mendatangkan mudharat kepada manusia adalah berdosa besar dan pelaku jenayah, maka wajib dihukum qisas/hudud.
Dalam pada itu, pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengesyorkan mereka yang terkena sihir agar berjumpa perawat yang menggunakan ruqyah berasaskan ayat-ayat al-Quran dan al-Sunnah.
Katanya, sekiranya mampu, bolehlah merawat sendiri berdasarkan petunjuk Qurani dan hadis Nabawi. – 25 Julai, 2024