Rakyat Malaysia di Bangladesh akan dibawa pulang ke tanah air esok: Mohamad

Kerajaan mengesan seramai 139 orang pelajar menuntut di Bangladesh, tetapi 15 daripada mereka sudah pulang ke tanah air

3:08 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Kerajaan akan menggerakkan plan evakuasi untuk membawa pulang pelajar dan rakyat Malaysia yang terkandas Bangladesh susulan protes reformasi kuota, esok pagi.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, persiapan sudah dibuat dengan beberapa agensi kerajaan untuk pemindahan, termasuk membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pengurusan AirAsia.

“Plan evakuasi akan digerakkan untuk membawa balik pelajar dan warga Malaysia yang berada di Bangladesh, termasuk kaum keluarga petugas di kedutaan Malaysia di Dhaka,” katanya.

Mohamad berkata, kerajaan mengesan seramai 139 orang pelajar menuntut di Bangladesh, tetapi 15 daripada mereka sudah pulang ke tanah air.

“Masih ada 124 pelajar di sana yang akan dikumpulkan kerajaan dengan kerjasama beberapa agensi lain di bawah kelolaan MKN.

“Pesawat dengan ‘wide body’ berkapasiti 350 penumpang akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka yang dijadualkan mendarat di sana pada jam 10 pagi,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pelajar yang berada di universiti di Bangladesh dinasihati tidak meninggalkan kampus dan segera menghubungi pihak kedutaan untuk bantuan lanjut.

“Jangan keluar dari kampus, kami faham pelajar panik dan menghubungi ibu bapa untuk lakukan sesuatu.

“Kami juga sedang membuat persiapan dengan kerajaan Bangladesh untuk memastikan rakyat Malaysia diberi keselamatan untuk pergi ke bangunan Pesuruhjaya Tinggi malam ini, selain ketika menuju ke lapangan terbang esok,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad berkata, Kementerian Luar mendapat kelulusan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung berhasrat menyegerakan rancangan untuk membawa mereka pulang. 

Jelasnya, ibu bapa pelajar itu diminta bertenang sambil menunggu tindakan susulah diambil kementerian dan kedutaan Malaysia di Bangladesh. 

“Saya berharap ibu bapa bertenang kerana kerajaan sedang berusaha membawa anak mereka pulang, jadi tidak timbul soal mengatakan kementerian membiarkan pelajar di sana. 

“Awalnya pihak kedutaan dan kementerian ini menganalisa keadaan di Bangladesh, cuma gerakan daripada pelajar menjadi satu tindakan anti kerajaan dilakukan pihak berkepentingan.

“Jadi kami tidak jangkakan bahawa isu ini akan selesai segera, maka jalan terbaik adalah membawa balik rakyat kita ke tanah air,” katanya. 

Situasi protes di Bangladesh sejak awal bulan ini semakin memuncak dan membimbangkan.

Ia tercetus susulan ribuan pelajar berdemonstrasi sejak 1 Julai selepas mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan kerajaan yang dimansuh pada 2018.

Penunjuk perasaan menuntut perubahan kepada sistem itu yang memperuntukkan 56 peratus daripada pekerjaan awam untuk kumpulan tertentu, lapor agensi berita Anadolu.

Insiden di Dhaka dan beberapa lokasi lain di Bangladesh itu menyebabkan puluhan terkorban, dengan kebanyakannya pelajar termasuk mereka yang di bawah umur, malah menyaksikan polis melepaskan tembakan ke arah peserta. – 22 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Not just stupid, but blatantly insulting: Saravanan slams Era FM’s Thaipusam ‘jokes’

MIC deputy president denounces actions of radio presenters imitating sacred kavadi dance, calling it ‘brainless’ and ‘disgraceful’

Megat Hafiz A.C.A.B tetap saman empat individu yang muat naik hantaran berbaur hasutan, ugutan dan penghinaan

Vokalis dan pemain gitar kumpulan skinhead, A.C.A.B, Megat Hafiz Mohammad atau Magskin memaklumkan salah seorang daripada empat individu yang sebelum ini telah mengeluarkan hantaran jelek berbaur hasutan, penghinaan serta ugutan dengan niat menjatuhkan dirinya telah ditahan polis di Pahang.

Related