KUALA LUMPUR – Polis akan membuat permohonan esok bagi menyambung tempoh reman suspek kes bunuh bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah.
Ia susulan tempoh reman selama tujuh hari bermula 16 Julai lalu yang dikenakan ke atas lelaki berumur 26 tahun itu, tamat esok.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, sambungan reman itu akan dikemukakan di Mahkamah Kuala Kubu Baharu.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Kuala Kubu Baharu untuk permohonan sambung reman pada jam 9 pagi esok,” katanya kepada media.
Sambung reman itu bertujuan membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
Nur Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di Taman Universiti, Tanjung Malim,
Pada Isnin lalu, mayat wanita itu ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor pada kira-kira jam 6 petang.
Susulan penemuan mayat itu, suspek yang juga kenalan mangsa dan bertugas sebagai anggota polis ditahan pada hari sama.
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, Nurul Mardhiah Mohammed Redza kemudian membenarkan suspek direman seminggu, bagi membolehkan polis menjalankan siasatan ke atasnya yang dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jenazah Nur Farah Kartini Abdullah, dikebumikan pada Khamis lalu di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang.
Polis menjalankan beberapa operasi bagi mencari bukti kes pembunuhan, termasuk dilakukan pasukan Unit Skuba dan Sub-Akuatik Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan parit ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor yang berjaya menemukan telefon bimbit dipercayai milik mangsa.
Operasi pencarian bukti turut dijalankan Unit Skuba Siasatan Forensik Bukit Aman di Sungai Trolak Kampung Batu di Tanjung Malim. – 21 Julai, 2024