SHAH ALAM – Umno menafikan dakwaan parti itu menolak kehadiran pemimpin parti Pakatan Harapan (PH) untuk berkempen bagi calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, bulan depan.
Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, sokongan daripada parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan amat penting bagi memastikan kemenangan calon BN di kerusi tersebut.
“Dalam politik ini, kita memerlukan antara satu sama lain. Jadi sudah tentu semua orang diperlukan (parti komponen termasuk PH), tetapi mesti mengikut adat resam budaya di sesuatu tempat.
“(Masyarakat) Nenggiri tidak sama dengan Subang (Jaya), budaya sosio politik dan sosio pemikiran mereka juga jauh berbeza. Jadi perlu (berkempen) mengikut adat budaya politik di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Subang di Bangunan Umno Selangor, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Umno Kelantan memaklumkan akan membuat tapisan pemimpin sama ada peringkat negeri dan Pusat yang akan dibenarkan berceramah pada pentas kempen PRK DUN Nenggiri.
Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Zawawi Othman berkata, langkah itu diambil sebagai iktibar dari PRK Sungai Bakap apabila ada kepimpinan mewakili kerajaan gagal menyampaikan dasar dan menerangkan isu dengan jelas di pentas ceramah kempen.
Mengulas lanjut, Akmal yakin calon anak tempatan, Mohd Azmawi yang ditampilkan BN akan berjaya merampas kerusi yang dulunya milik parti itu.
“Kita akan pastikan seluruh jentera Pemuda turun di Nenggiri, berkempen untuk Abe Mawi (Mohd Azmawi Fikri).
“Beliau adalah calon tempatan, iaitu orang Gua Musang. Jadi, saya lihat kita ada peluang cerah untuk menang di situ,” katanya.
Terdahulu, Umno Kelantan mengumumkan Mohd Azmawi sebagai calon BN untuk bertanding di DUN Nenggiri, berikutan pengumuman pengosongan kerusi tersebut oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Bersatu mengenai keahlian Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada Bersatu. – 20 Julai, 2024