KUALA LUMPUR – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong termasuk dalam Ulil Amri (pemimpin) yang wajib ditaati, kata Mimbar hari ini.
Menurut mimbar, ia terkandung dalam Surah al-Nisaa’ ayat 59 yang mengandungi perintah asas iaitu kewajipan taat kepada Allah SWT, Rasulullah dan ulil amri iaitu pemimpin negara berserta seluruh jajarannya.
Malah, mimbar menyatakan raja dan rakyat umpama pokok serta akar yang saling memerlukan di mana raja memerlukan rakyat manakala rakyat memerlukan raja sebagai tempat berlindung.
“Maka sudah tentulah pohon tidak berupaya hidup tanpa akar yang kuat dan akar pula sangat perlukan pohon yang hidup dan menjalankan fungsinya dengan baik
“Perlu kita fahami bahawa Institusi Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Raja-Raja Melayu harus dipertahankan kerana kita telah berada dalam institusi ini dengan acuan kita sendiri.
“Apatah lagi, dengan peranan Baginda yang bertindak sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri tidak beraja iaitu Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan,’’ kata mimbar.
Ia merupakan kandungan teks khutbah khas yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertajuk ‘Raja Ditaati, Negara Dirahmati’ sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim di Istana Negara esok.
Taat kepada pemerintah ini turut menjadi kandungan khutbah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darulaman (JHEAIK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Mimbar juga menyatakan istiadat pertabalan itu sangat penting bagi mengukuh kesetiaan kepada sistem yang telah lama diamalkan iaitu sistem Raja Berpelembagaan.
“Yang di-Pertuan Agong berperanan mewujud dan melestarikan perpaduan rakyat, dan memastikan pentadbiran negara berada dalam landasan yang betul demi memelihara kedaulatannya dan kesejahteraan rakyat,’’ katanya.
Mimbar juga membuat beberapa rumusan iaitu pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sangat signifikan kerana ia lambang kepada sistem raja berpelembagaan di Malaysia.
Agong juga berperanan mewujud dan melestarikan perpaduan rakyat dan memastikan pentadbiran negara dalam landasan yang betul demi memelihara kedaulatannya dan kesejahteraan rakyat.
“Kita hendaklah menumpahkan taat setia kepada Baginda selaras dengan ikrar Rukun Negara yang telah kita lafazkan,’’ kata mimbar. – 19 Julai, 2024