KUALA LUMPUR – PKR kesal dengan tindakan pembangkang membaca Qunut Nazilah selepas Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan, semalam.
Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan berkata, amalan bacaan Qunut Nazilah dilakukan oleh Rasulullah SAW khususnya ketika peperangan Ahzab dan ia juga dikenali sebagai doa penghancur musuh.
Menurutnya, bacaan itu adalah munajat tentera Islam yang diketuai Rasulullah SAW yang sedang bertahan ketika dikepung oleh tentera musyrikin Makkah yang berpakat dengan kelompok tertentu masyarakat Madinah.
“Peperangan itu jelas di antara kufar dan Islam. (Tapi) Di sini saya ingin bertanya pihak mana yang ditujukan qunut nazilah ini? Kelompok Ahli Parlimen bukan Islamkah? Atau semua Ahli Parlimen yang menyokong hukuman termasuk yang Islam, dianggap sebagai orang kafir sama seperti musyrikin Makkah?
“Adakah kelompok ini, (Ahli Parlimen yang menyokong hukuman) adalah kelompok yang sewajarnya digonggong batang leher mereka oleh anjing-anjing Allah. Adakah ini pendirian dan pandangan mereka?” katanya dalam kenyataan.
Tegas Amidi, tindakan menyamakan persaingan politik antara parti dengan perseteruan Rasulullah SAW dan umat Islam dengan musyrikin Makkah adalah jelas suatu sikap yang berasal dari ketaksuban sempit (asabiah) kepartian, bukannya dari ajaran Islam.
“Agama Islam seharusnya menjadi landasan dalam berpolitik, bukan sahaja dari sudut aqidah dan syariah tetapi juga akhlaq mahmudah yang perlu diamalkan.
“Jangan menjadikan agama Islam sebagai tunggangan bagi meraih sokongan politik semata-mata,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) membaca Qunut Nazilah selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan keputusan menggantung Wan Ahmad Fayhsal selama enam bulan.
Bacaan berkenaan dipimpin Zulkifli Ismail (PN-Jasin) yang juga pemimpin PAS Melaka dan dibacakan di dalam Dewan Rakyat sebaik persidangan ditangguhkan untuk rehat.
Tindakan penggantungan Wan Ahmad Fayhsal itu susulan usul Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana membangkitkan surat layang ketika perbahasan.
Surat layang tersebut berkaitan dakwaan ke atas penjawat awam dengan maklumat yang tidak disahkan.
Mengulas lanjut, Amidi menggesa pihak berwajib khususnya mufti memberikan pencerahan sewajarnya kerana situasi itu sama dengan kejadian membaca Qunut Nazilah ketika pertandingan ragbi antara sekolah di daerah Sabak Bernam, Januari lalu.
“Ia telah ditegur oleh Datuk Mohd Na’im Mokhtar beberapa hari lalu. Tindakan itu jelas mencemari semangat ukhuwah Islamiah yang menjadi kewajipan seorang yang mengaku beriman kepada Allah dan hari akhirat.
“Jangan sampai perbezaan pendirian politik memutuskan tali persaudaraan Islam sesama kita,” katanya. – 19 Julai, 2024