KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berdepan kemungkinan digantung selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Kemungkinan itu susulan dakwaan beliau mengenai kewujudan surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Menerusi paparan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) dan Usul-Usul bagi persidangan Dewan Rakyat hari ini, usul mencadangkan penggantungan Ahli Parlimen Bersatu itu akan dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
“Bahawa Yang Berhormat Machang membawa perhatian satu surat layang tidak dapat dikenal pasti identiti pengadu dan kesahihan maklumatnya.
“Perbuatan Yang Berhormat Machang merujuk kepada surat layang tersebut, memberi kesan buruk bukan sahaja kepada individu didakwa, tetapi juga secara umum pegawai agensi di bawah kementerian mungkin teraniaya kerana tuduhan tidak berasas ini,” katanya.
Menurutnya, dalam perbahasan, Ahli Parlimen tidak boleh menyebut kelakuan atau sifat mana-mana pegawai kerajaan, selain menjalankan urusannya sebagai pegawai kerajaan.
Pada mana sama, usul itu mencadangkan, dakwaan Wan Ahmad Fayhsal seolah-olah menjatuhkan martabat pegawai agensi di bawah kementerian yang bertungkus-lumus membantu anggota pentadbiran membangunkan Malaysia.
Ujarnya, wakil rakyat itu juga mengeluarkan kenyataan dan dakwaan serius serta membangkitkan perasaan ‘melawan kuasa kerajaan’.
“Maka inilah dipersetujui bahawa Yang Berhormat Machang hendaklah digantung daripada perkhidmatan Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa Pilihan selama enam bulan dari tarikh keputusan usul ini diluluskan,” katanya.
Pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu, Wan Ahmad Fayhsal menuntut penjelasan berhubung keputusan penjualan sebahagian saham MAHB, susulan beliau dikatakan menerima satu surat layang mendedahkan identiti dalang di sebalik keputusan berkenaan.
Sementara itu, difahamkan, Wan Ahmad Fayhsal akan mengadakan sidang media di Parlimen selepas usul penggantungan berkenaan dibacakan. – 18 Julai, 2024