KUALA LUMPUR – Dua penunggang motosikal termasuk seorang akauntan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) maut, manakala seorang pemandu lori parah dalam kemalangan melibatkan tujuh kenderaan di Jalan Bukit Dugang, dekat Sepang hari ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam kejadian jam 9.10 pagi itu, pemandu lori terbabit yang dalam perjalanan dari Putrajaya menghala ke Jenderam dipercayai mengalami serangan jantung.
“Keadaan itu menyebabkan lori dipandunya hilang kawalan, terbabas dan memasuki laluan bertentangan dan melanggar enam kenderaan lain iaitu empat kereta serta dan dua motosikal yang berada di laluan itu.
“Akibat rempuhan itu, seorang lelaki yang menunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi lelaki yang menunggang motosikal lain meninggal dunia semasa menerima rawatan di Zon Merah Hospital Putrajaya.
“Pemandu lori itu mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di Zon Merah hospital Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang,” katanya. – 17 Julai, 2024