KUALA LUMPUR – Telefon dipercayai milik bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, ditemukan di kawasan parit ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor.
Peranti itu ditemui pasukan Unit Skuba dan Sub-Akuatik Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 12.21 tengah hari tadi.
Suspek kemudian dilihat dibawa keluar dari sebuah kenderaan polis bagi membuat pengecaman telefon milik Farah.
Ketika ini, proses mencari bahan bukti lain masih dijalankan.
Kelmarin, mayat Farah ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada jam 6 petang.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun yang juga anggota polis berpangkat lans koperal di Balai Polis Slim River, Tanjung Malim.
Suspek direman bermula semalam sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu. – 17 Julai, 2024