KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mempertimbang penubuhan Dana Kesihatan Negara (NHF), bagi mengumpul pelbagai sumber pembiayaan daripada kegiatan penguatkuasaannya.
Menterinya, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, pendekatan itu juga adalah bagi mengurangkan perbelanjaan ‘duit poket sendiri’ atau ‘out-of-pocket’ (OOP) kementerian.
Katanya, langkah itu juga bagi membolehkan KKM meningkatkan kualiti perbelanjaan kesihatan supaya lebih efisien.
Usaha itu, ujarnya, dipertimbangkan KKM selepas ia sedar mengenai bebanan perbelanjaan OOP rakyat untuk kesihatan.
Jelasnya, bebanan itu mencatatkan 37% yang menyaksikannya antara tertinggi, berbanding negara mempunyai kedudukan ekonomi setara dengan Malaysia.
“Dana Kesihatan Negara yang diuruskan secara telus, efisien, dan berintegriti sedang dipertimbangkan untuk mengumpul pelbagai sumber pembiayaan dirancang.
“Ini termasuk daripada hasil cukai, bukan cukai dan dana dikhaskan daripada kegiatan penguatkuasaan KKM, seperti cukai kepada minuman bergula (SSB) serta lain-lain.
“Ini akan memahamkan pemegang taruh berhubung kepentingan pembiayaan kesihatan yang akan bersedia terlibat dalam momentum perubahan pembiayaan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat di Dewan Rakyat hari ini.
Suhaizan meminta beliau menyatakan rancangan KKM untuk mewujudkan NHF, bagi memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat dan apakah cabaran dihadapi kementerian terbabit.
Dzulkefly berkata, kementerian berkenaan juga menyedari mengenai kekangan makroekonomi semasa, pentadbiran dan politik negara akan mempengaruhi transformasi kesihatan.
“KKM sedang meneliti dan memperincikan hala tuju reformasi Sistem Pembiayaan Kesihatan ini yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Hala tuju ini akan mengambil kira cabaran dan realiti yang dihadapi, selain memanfaatkan amalan dan pengalaman terbaik kesihatan global,” katanya.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, KKM komited untuk terus menjalin kerjasama erat dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen dalam usaha memperkukuhkan sistem kesihatan.
“KKM mengambil pendekatan kolaboratif ini sebagai platform mewujudkan sinergi antara penggubal dasar dan pelaksana, bertujuan memastikan sistem kesihatan memenuhi keperluan dan jangkaan rakyat secara berkesan.
“Kementerian percaya dengan pengagihan dana kesihatan yang telus, ia dapat meningkatkan keyakinan dan sokongan untuk menambah pembiayaan kesihatan. – 17 Julai, 2024