KUALA LUMPUR – Veteran Umno menegur pemimpin parti yang menggunakan media sosial untuk berkelahi sesama sendiri dan menggesa perangai ‘hodoh’ mereka dihentikan.
Bercakap kepada Scoop, Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pertelagahan dua pemimpin Umno, Datuk Lokman Noor Adam dan Dr Muhamad Akmal Saleh dalam isu melibatkan enam Ahli Parlimen Bersatu sepatutnya tidak perlu diuar-uarkan kepada semua menerusi media sosial.
Beliau berkata, sebaliknya terdapat saluran sesuai untuk kedua pemimpin memberi pandangan atau pendapat termasuk dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT).
“Seorang ketua pemuda dan seorang lagi MKT, buat apa bergaduh di luar melalui media sosial. Bila masuk (media sosial), bukan orang Umno saja lihat dan baca, orang lain pun dengar, orang lain pun baca termasuk parti lawan.
“Ahli Umno bebas bersuara, memberi pandangan dan pendapat, cuma caranya kena betul. Kalau nak kata MT guna kuasa untuk tutup mulut, menahan mana-mana ahli daripada bersuara, itu tak betul, tidak ada.
“Kita ada lebih 3 juta ahli, takkan semua nak bersetuju dengan apa pucuk pimpinan buat. Jadi cara kena betul, tegurlah, bagi pandanganlah tapi jangan burukkan parti mahu pun sesama sendiri,” katanya hari ini.
Terdahulu, perang mulut antara Lokman dan Akmal tercetus susulan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau itu yang mempertikai keputusan Speaker Dewan Rakyat yang menolak pengosongan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu.
Beliau mempersoal adakah Ketua Pemuda Umno itu menjadi jurucakap kepada Perikatan Nasional (PN).
Susulan itu Akmal mempersoal adakah keputusan sama terpakai untuk pihak lain pada masa akan datang.
Malah beliau juga memberi contoh mengenai Lokman yang dulu asalnya dari PKR namun melompat masuk ke dalam Umno dan perbuatan tersebut tetap dianggap sebagai katak politik.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata, parti lain juga ada yang berbeza pandangan dan pendapat, namun tidak dibuat secara terbuka.
“Kita tak mahu dilihat, berkelahi, bertengkar sesama sendiri sedangkan parti lain walaupun berkelahi tapi mereka pandai sembunyikan.
“Ini dalam Umno, malangnya dah jadi satu perangai ‘hodoh’, bila berkelahi sahaja, kita nak uar-uarkan di media sosial. Masing-masing nak jadi hero? Veteran tidak berminat dengan sikap ini dan minta supaya mereka hentikan.
“Kita tak mahu dilihat macam parti tidak matang, parti budak-budak, sikit-sikit berkelahi, malulah, kalau tak malu kepada parti lawan pun, malulah kepada veteran Umno, orang tua yang sedang memerhati ini,” katanya.
Tambahnya, pimpinan parti juga tidak sepatutnya memarahi Akmal kerana pandangan diberikan atas kapasitinya sebagai Ketua Pemuda yang membawa idea-idea golongan muda.
“Kalau tak betul tindakan dia, tegurlah dalam mesyuarat MT, itu cara terbaik.
“Dari dahulu, Pemuda memang agresif dalam parti, pernah dikenali sebagai kumpulan pendesak, jadi jangan marah kepada Pemuda Umno, biarlah mereka suarakan pandangan, mereka pelapis kepemimpinan parti.
“Jadi (pandangan berbeza) itu perkara biasa, nak kata dia susahkan kerajaan sedia ada, tidak ada pun, ini sebahagian semak dan imbang.
“Kita perlu ada pemimpin macam itu, takkan nak say yes memanjang. Bila bos kata yes, yes, bila kata no, no, ikut saja, tak boleh macam itu,” katanya. – 17 Julai, 2024