SHAH ALAM – Masih ramai penduduk Selangor tidak mengetahui kewujudan program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) 2024 yang kini kembali dibuka kepada pemohon yang layak sehingga 15 Ogos ini.
Tinjauan Scoop di sekitar Seksyen 7 di sini mendapati, rata-rata penduduk di kawasan tersebut terkejut dan tidak tahu-menahu mengenai program Bingkas yang ditawarkan kerajaan Selangor dengan peruntukan sebanyak RM108 juta.
Seorang pekerja taman tema, Nadia Zakaria, 25, berkata, kerajaan negeri perlu mendedahkan penduduk di Selangor mengenai program bantuan itu secara lebih terperinci.
“Banyak media di Selangor tetapi sampai sekarang saya tidak pernah dengar mengenai bantuan ini. Sepatutnya, dengan zaman sekarang yang ada pelbagai media sosial seperti TikTok dan Facebook, kerajaan Selangor sudah boleh sampaikan maklumat ini secara meluas.
“Sekurang-kurangnya, boleh edarkan iklan seperti pamplet dan sediakan booth pameran di pusat beli-belah supaya orang tahu. Lagi-lagi untuk mereka yang sudah berumur, sukar untuk mereka dapatkan maklumat sendiri melalui internet,” katanya.
Menurut Nadia, jumlah bantuan RM300 yang ditawarkan menerusi program tersebut sepatutnya dinaikkan lagi berikutan kos sara hidup yang tinggi di negeri itu.
“Saya tengok keluarga kakak saya, saya dapat lihat mereka sedang berjuang. Hakikatnya memang susah. Kalau saya tahu dari awal, saya akan sampaikan maklumat ini kepada kenalan yang tidak berkemampuan.
“Kos sara hidup sekarang sangat tinggi. RM300 untuk satu keluarga hanya cukup untuk seminggu. Kalau untuk keluarga yang ada anak, sudah pasti tidak cukup. Bayangkan jika ada anak-anak masih memakai lampin dan menyusu,” katanya.
Susulan itu, Nadia mencadangkan agar bantuan itu dinaikkan kepada RM500 berbanding jumlah sedia ada ketika ini.
“Jika RM300 untuk kegunaan seorang anak sahaja sudah memadai, namun jika ada anak sekurang-kurangnya dua orang, ia tidak mencukupi.
“Nurseri pula sekarang tidak murah, lebih RM300. Saya menghargai usaha ini, tetapi jumlah yang diberikan perlulah lebih masuk akal. Jumlah sesuai sekurang-kurangnya RM500.
“Kita bercakap mengenai kawasan Selangor. Kalau di Pantai Timur, saya rasa jumlah tersebut agak memadai. Di sini kita perlu bayar tol, parkir dan sebagainya,” katanya.
Seorang peniaga gerai burger, Yahya Said, 28, berkata, dia mendapati ramai jirannya layak menerima bantuan itu, tetapi tidak membuat permohonan kerana mereka tidak tahu mengenai kewujudan program tersebut.
Katanya, disebabkan tiada maklumat mengenai program itu, mereka berdepan sedikit kekangan untuk memohon bantuan ditawarkan.
“Memandangkan pendaftaran bukan secara automatik, jadi agak sukar untuk orang ramai mendaftar. Saya rasa seeloknya kerajaan uar-uarkan bantuan itu secara lebih kerap selepas ini.
“Pada masa sama, RM300 itu bagi saya tidak mencukupi, tetapi ia sedikit sebanyak mampu meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan,” katanya.
Seorang lagi pekerja di sebuah taman tema di sini, Ahmad Aiman Tarmizi, 18, berkata, sebagai anak jati Selangor dia mengakui program bantuan itu tidak disampaikan secara meluas di seluruh negeri tersebut.
Katanya, jumlah bantuan yang ditawarkan itu juga tidak mencukupi memandangkan harga barang ketika ini agak mahal.
“Sejujurnya, melalui pengalaman saya yang baru tamat sekolah menengah, RM300 tidak mencukupi Biasanya masa di sekolah, saya akan berbelanja sekitar RM10 sehari, jadi bulanan saja untuk makan sudah mencecah RM200.
“Itu baru untuk seorang. Jadi kalau mereka yang ada dua orang anak, dengan jumlah itu, perbelanjaan makanan pun tidak mencukupi untuk sebulan,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima bantuan tersebut yang ingin dikenali sebagai Najwa berkata, Bingkas telah membantu meringankan beban keluarganya ketika negara dibelenggu pandemik Covid-19.
“Bapa saya ketika itu hilang pekerjaan disebabkan masalah kesihatan, ditambah pula pada masa sama berlakunya Covid-19.
“Kami sekeluarga hilang punca pendapatan. Ketika itu saya ada terbaca di internet dan minta ibu saya untuk mohon.
“Nak gunakan bantuan itu agak senang kerana diberi dalam bentuk e-wallet secara bulanan. Jadi mudah untuk beli barang keperluan di kedai,” katanya.
Untuk rekod, kerajaan Selangor memperkenalkan program Bingkas bagi memberikan sokongan kewangan sebanyak RM300 sebulan bagi keperluan asas dan alat pendidikan kepada keluarga yang layak sejak tahun 2018.
Permohonan bantuan itu boleh dibuat menerusi aplikasi SELangkah atau menggunakan laman sesawang www.bingkasselangor.com sehingga 15 Ogos ini.
Sebarang maklumat lanjut boleh diajukan ke talian hotline Selcare 1-800-22-6600 atau melalui emel [email protected]. – 17 Julai, 2024