Keputusan Speaker Dewan Rakyat: Dalam Umno sudah ada yang berbalah

Untuk menutup kelompongan, pindaan perlu dibuat kepada Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan berkait Akta Lompat Parti

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perbalahan yang mula tercetus dalam kalangan pemimpin Umno menunjukkan implikasi ketidakstabilan politik yang timbul susulan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengekalkan kerusi enam bekas ahli Parlimen Bersatu.

Bercakap kepada Scoop, Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, isu yang tidak diselesaikan dengan baik bersama pendirian yang munasabah akhirnya menjurus kepada perbalahan dan polemik antara yang menyokong dan menentang keputusan itu.

“Umno parti komponen kepada kerajaan, dalam Umno dah ada perbalahan, inilah kesannya yang merosakkan.

“(Apabila) Isu-isu yang tidak diselesaikan dengan baik, kalau tidak ada pendirian yang munasabah, yang berasaskan kepada prinsip, itu yang boleh mendedahkan kepada keadaan macam ini.

“Itu sebabnya kalau kita tak konsisten pegang kepada prinsip, ia menjadi masalah, boleh menimbulkan polemik,” katanya hari ini.

Terdahulu dua pemimpin Umno, Datuk Lokman Noor Adam dan Dr Muhamad Akmal Saleh saling berperang mulut dengan masing-masing menggunakan perkataan kasar susulan isu melibatkan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu.

Lokman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menemplak Akmal iaitu Ketua Pemuda Umno kerana mempersoal keputusan dibuat Johari.

Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, untuk menutup kelompongan, pindaan perlu dibuat kepada Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan berkait Akta Lompat Parti.

“Sebab itu dalam keadaan ini bila undang-undang itu diluluskan (sebelum ini) bukan sahaja tidak jelas malah membuka ruang kepada pelbagai tafsiran, termasuk juga tafsiran dan peranan oleh Speaker.

“Dia pula boleh buat terjemahan dia sendiri yang membuat kita berdepan keadaan bahawa terjemahan itu dilakukan mengikut parti punya fahaman.

“Macam di Kelantan, PAS yang tadbir negeri isytihar kekosongan, di Selangor tidak isytihar kosong begitu juga di Dewan Rakyat. Jadi maknanya, apa sebenarnya tafsiran yang betul yang jelas, supaya rakyat tidak keliru?” Soalnya.

Tambah beliau, semua parti patut bersetuju kepada pindaan semula akta terbabit sekiranya mahu membendung ‘katak’ politik.

“Maknanya kalau kita ini masih lagi berfikiran cara parti politik, tidak fikirkan kebaikan bagi sistem kita, matlamat kita, yang kita tidak hendakkan politik katak, bagaimana nak ke hadapan, jadi patut setujulah (untuk pindaan),” katanya.

Beliau berkata, situasi sekarang (susulan keputusan Speaker) memperlihat seolah-olah parti pemerintah sanggup menerima ‘katak’ politik manakala tidak bagi parti pembangkang,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedia berbincang bagi meminda akta berkaitan untuk memperbaiki kelompongan yang terdapat dalam undang-undang berkenaan.
 
Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) pada 2022 pernah mengusulkan supaya pindaan dibuat kepada akta terbabit, namun ditolak oleh kerajaan ketika itu. – 15 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Summoned five times: Nazri Aziz on facing US State Dept on Palestine, global issues

Former envoy shares how he used facts and United Nations’ principles to defend Malaysia’s independence

How will M’sia recoup US$248 mil from Riza Aziz after 1MDB suit withdrawal?: Guan Eng

Putrajaya, which entered a deal with Datuk Seri Najib Razak’s stepson as part of a global settlement on 1MDB asset recovery, must explain the public interest matter

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related