KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya kerajaan enggan mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) disandang bekas ahli Bersatu kerana takut kalah pada pilihan raya adalah tidak benar.
Menepis dakwaan itu, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil berkata, tiada istilah takut berhubung perkara terbabit tidak timbul, sebaliknya Kerajaan menghormati ketetapan termaktub dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663) atau Akta Anti Lompat Parti.
“Ini bukan soal takut atau tidak takut. Ini soal Perlembagaan,” katanya ketika ditemui pihak media pada sambutan Hari Peneroka Felda 2024 di Serdang malam tadi.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya semalam mendakwa, Kerajaan Perpaduan tidak mengisytiharkan kekosongan tujuh kerusi berkenaan kerana takut berdepan kekalahan, sehingga sanggup melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkait Akta Anti Lompat Parti yang diperjuangkan pihak mereka sendiri.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pertikaian berhubung kerusi wakil rakyat berkenaan di media sosial ketika ini, mengimbas kenyataan Muhyiddin sewaktu perbahasan Akta Anti Lompat Parti yang jelas bercanggah dengan pendekatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sekarang.
Katanya, ketika itu, Muhyiddin menyatakan bahawa pemecatan tidak harus menjurus kepada pengosongan kerusi.
“Kalau kita teliti kenyataan Muhyiddin sekitar November 2022 sejurus selepas selesai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau berkata tidak salah ahli Umno menyokong beliau jadi Perdana Menteri.
“Jadi saya lihat Muhyiddin adalah seorang hipokrit yang lupa apa dia cakap sama ada dalam Parlimen atau sejurus selepas PRU15,” katanya.
Ditanya mengenai cadangan supaya Akta Anti Lompat Parti diperketat, Fahmi berkata, kerajaan sedia meneliti perkara itu dan secara prinsipnya, pimpinan PH sejak dahulu mahu ia dilaksanakan dengan ketat.
“Perdana Menteri ada nyatakan kita boleh teliti perkara ini, ia bukan perkara mudah dan kena ingat dahulu wakil daripada PH dan hampir semua terlibat perbincangan waktu itu, termasuk daripada Umno yang menyokong agar Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti bersifat lebih ketat.
“Yang paling tidak setuju dahulu ialah Ahli Parlimen seperti Muhyiddin, (Datuk) Radzi Jidin (Ahli Parlimen Putrajaya) dan (Datuk Seri) Hamzah Zainuddin (Ahli Parlimen Larut).
“Maka kami (PH) secara prinsipnya memang setuju diketatkan lagi apa-apa aspek pada waktu ini yang ada kelompangan,” katanya.
Malah, kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan terbuka untuk mengadakan perbincangan bagi memperbaiki kelompangan yang wujud dalam Akta Anti Lompat Parti.
Pengerusi PH berkenaan menegaskan, pada 2022 pihaknya pernah mengusulkan supaya pindaan terhadap akta terbabit dibuat, namun ia ditolak kerajaan ketika itu.
Kontroversi mengenai kedudukan enam Ahli Parlimen itu terjawab apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam keputusaanya pada Selasa lalu, menetapkan semua mereka tidak perlu mengosongkan kerusi, berdasarkan Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan yang dibuat untuk memastikan kestabilan politik.
Enam bekas Ahli Parlimen Bersatu itu adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Bagaimanapun, dalam reaksinya, Muhyiddin menyifatkan keputusan Johari bercanggah dengan peruntukan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan dan akan mencabarnya di mahkamah.
Manakala, pada Khamis lalu pula, Speaker DUN Selangor Lau Weng San mengumumkan tiada kekosongan luar jangka bagi kerusi Selat Klang yang disandang Datuk Abdul Rashid Asari. – 14 Julai, 2024