Umno setuju Akta Lompat Parti dikaji semula, dipinda

Ini bagi mengelakkan wakil rakyat mengalih sokongan kepada parti atau pemimpin lawan, dan tindakan tegas boleh dikenakan terhadap mereka yang berbuat demikian: Mohamad Hasan

6:48 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Umno bersetuju jika akta anti lompat parti dikaji semula atau dipinda agar dapat dimantapkan lagi, sekali gus mengelakkan wakil rakyat bertindak mengalih sokongan kepada parti atau pemimpin lawan.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kajian semula atau pindaan itu akan membolehkan tindakan wajar dan tegas dikenakan kepada mana-mana wakil rakyat yang melompat parti.

Katanya, ia sebagai ‘persetujuan’ untuk memperkasakan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti, dengan memerlukan wakil rakyat mengosongkan kerusi sekiranya melompat parti kerana ia jelas menunjukkan mereka tidak sehaluan dengan kepimpinan sedia ada.

“Pada saya elok kita kaji (akta antilompat parti), bahkan saya kata kalau tidak dikaji, wajar perbetulkan buat satu rang undang-undang.

“Rang undang-undang ketat diperlukan agar isu lompat parti tidak lagi boleh dilakukan ahli Parlimen,” katanya.

Mengambil contoh kaedah diguna pakai di England, Mohamad atau lebih mesra disapa Tok Mat berkata, di negara berkenaan, ia mempratikkan ‘recall process’.

Parlimen
Rang undang-undang ketat diperlukan agar isu lompat parti tidak lagi boleh dilakukan ahli Parlimen. – Alif Omar/Scoop, 13 Julai, 2024

“Yang mana jika ada ahli Parlimen mereka jelas tunjukkan tidak sehaluan dengn parti dan tidak bersama, maka pengundi boleh membuat petisyen dan pungutan suara atau referendum.

“Yang mana jika ada ahli parlimen mereka (di England) jelas menunjukkan tidak sehaluan dengan parti ataupun tidak bersama, maka pengundi di kawasan mereka itu buat referendum serta petisyen dan mereka mesti mengumpulkan tandatangan pengundi yang sah di kawasan berkenaan.

“Tandatangan itu untuk membawa petisyen ini kepada Parlimen dan mereka yang ada petisyen lebih daripada 50% oleh pengundi di situ, perlu mengosongkan kerusi dan pilihan raya perlu diadakan,” katanya menerusi ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Tenggara di Felda Sungai Sayong di Kota Tinggi hari ini yang turut dipaparkan menerusi rakaman video

Mohamad berkata, Umno tiada masalah untuk perkara itu dilaksanakan memandangkan parti berkenaan sejak awal menyarankan undang-undang anti lompat parti dipratikkan.

“Umno memang kita dulu buat pindaan (akta lompat parti) itu sewaktu RUU yang padat dan ketat, tapi banyak pula orang tak setuju

“Kita kemukakan supaya RUU ini mesti ada. Kalau tidak, negara kita sentiasa saja kucar-kacir, diugut oleh mereka (wakil rakyat) yang kadang-kadang lebih kepada kepentingan peribadi.,” katanya.

Menurutnya, golongan marah dan tidak bersetuju dengan apa dikemukakan Umno ketika itu adalah mereka yang terbabit isu sekarang ini.

“Bahkan orang yang marah sekarang ini mereka yang tak setuju, mereka lah yang kata tak perlu keluar daripada parti tak perlu kosongkan kerusi, kalau tak bersetuju dengan parti tapi tak keluar parti, tetapi menyokong pihak sebelah tanpa perlu kosongkan kerusi semua mereka yang nak.

“Kalau boleh kita dengar klip-klip video dari Parlimen (mengenai apa diperkatakan mereka itu), kita boleh lihat,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, kerajaan sedia berbincang untuk meminda Akta Anti Lompat Parti bagi memperbaiki kelompangan, seperti yang pernah diusulkan Pakatan Harapan pada 2022. – Gambar Bernama, 13 Julai, 2024

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, kerajaan sedia berbincang untuk meminda Akta Anti Lompat Parti bagi memperbaiki kelompangan, seperti pernah diusulkan Pakatan Harapan (PH) pada 2022.

Namun, katanya, usul dikemukakan PH berkenaan ditolak kepimpinan kerajaan Bersatu ketika itu.

Anwar berkata demikian sebagai mengulas kontroversi di sebalik tindakan enam Ahli Parlimen dilucutkan keahlian daripada Bersatu selepas dikatakan ‘berpaling tadah’ yang mencetuskan perdebatan hangat dalam politik negara.

Kemuncaknya, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam keputusaanya pada Selasa lalu mengenai kedudukan enam individu terbabit sebagai Ahli Parlimen menetapkan, semua mereka tidak perlu mengosongkan kerusi, berdasarkan Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan yang dibuat untuk memastikan kestabilan politik.

Enam bekas Ahli Parlimen Bersatu itu adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Bagaimanapun, dalam reaksinya, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan Johari bercanggah dengan peruntukan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan dan akan mencabarnya di mahkamah.

Keputusan itu turut dikritik segelintir pihak, termasuk Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh yang menyifatkan akta antilompat parti diluluskan di Parlimen sebagai sia-sia, selepas wakil rakyat berpaling tadah terbabit tidak perlu mengosongkan kerusi.

Ada pihak pula menganggap, tindakan beberapa pemimpin Bersatu menolak usul Akta Anti Lompat Parti dikemukakan sebelum ini, memakan diri apabila terpaksa berdepan tindakan sebilangan ahli Parlimennya yang menyatakan sokongan kepada kerajaan. – 13 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related