MCMC, PDRM teliti SOP permudah aduan buli siber

MCMC memaklumkan, kerjasama itu adalah sebahagian usaha kedua-dua pihak untuk mengatasi masalah buli siber dalam kalangan masyarakat

11:35 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneliti prosedur operasi standard (SOP), bagi memudahkan proses membuat aduan buli siber.

Menerusi kenyataannya, MCMC memaklumkan, kerjasama itu adalah sebahagian usaha kedua-dua pihak untuk mengatasi masalah buli siber dalam kalangan masyarakat.

“Sinergi bersama PDRM juga akan dikukuhkan bagi memastikan inisiatif ini berkesan dan memberi impak kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, bagi tujuan sama, MCMC dan Kementerian Komunikasi juga merancang menganjurkan siri jelajah ke seluruh negara.

“Jelajah ini untuk menyebarkan mesej dan modul cegah buli siber di segenap lapisan rakyat,” katanya.

MCMC memaklumkan, pihaknya menyambut baik pengumuman Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bahawa kerajaan akan meneliti pindaan undang-undang sedia ada.

Katanya, ia termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) serta mempertimbangkan keperluan untuk menggubal atau mewujudkan akta baharu dalam menangani isu buli siber.

Pengumuman Fahmi itu, ujarnya, menghantar isyarat penting bahawa kerajaan komited dan serius dalam menangani masalah buli siber, sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Langkah itu juga akan membolehkan pihak berkuasa melaksanakan penguatkuasaan dengan lebih efektif, selain membawa mereka yang terbabit ke mahkamah, sekali gus memberi pembelaan sewajarnya kepada pihak terkesan,” katanya.

Terdahulu, Fahmi turut dilaporkan berkata, dalam usahanya menangani masalah buli siber, Kementerian Komunikasi akan turut melancarkan program jerayawara keselamatan menerusi talian dalam masa terdekat.

Jelasnya, program itu bertujuan memastikan perkhidmatan internet lebih cepat, murah dan selamat, terutama bagi golongan kanak-kanak serta keluarga.

Fahmi berkata, program itu akan menjadi platform kerajaan dalam menangani jenayah buli siber, selain meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dalam talian kepada rakyat di Malaysia.

Malah, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, program itu membabitkan penerangan mengenai bahaya penggunaan internet yang boleh menyebabkan perbuatan buli siber, penipuan, keselamatan siber serta cara melindungi data peribadi dan manfaat dalam talian. – 13 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related