‘Tak layak duduk MRSM jika tidak boleh belajar hidup bermasyarakat, buli’: Asyraf

Enggan berkompromi dengan kes buli, beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku terbabit di Ipma atau MRSM, terus memaklumkannya

8:59 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sebarang bentuk buli tanpa mengira fizikal atau mental adalah jenayah yang tidak boleh dikompromi.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, justeru mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes buli di Institut Pendidikan Mara (Ipma) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), diminta terus memaklumkannya kepada beliau.

“Apa juga bentuk buli tidak kira fizikal mahupun mental adalah satu bentuk jenayah yang tidak boleh dikompromikan.

“Maklumkan terus kepada saya jika berlaku di mana-mana Ipma atau MRSM,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, warga MRSM, termasuk pelajar tidak layak berada di MRSM sekiranya gagal untuk mempelajari cara hidup bermasyarakat dan berakhlak.

Malah, menerusi hantaran sama, beliau meminta beberapa netizen yang memaklumkan mengenai kes buli atau salah laku di MRSM di ruangan komen hantarannya itu, memberikan maklumat terperinci kepada pihaknya bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Sementara itu, Asyraf Wajdi dilaporkan berkata, sebagai pengurusan kanan Mara, beliau tidak akan bertolak ansur dengan buli, terutama yang membabitkan sentuhan fizikal.

“Pengurusan Mara amat mengetahui saya berpegang kepada prinsip ‘you touch you go’ (anda sentuh, anda keluar). Tidak layak duduk dalam MRSM jika tidak boleh belajar hidup bermasyarakat dan berakhlak,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya perbuatan buli benar-benar berlaku, tindakan tegas mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada perlu diambil segera.

“Mangsa juga mesti dipantau supaya tidak menerima kesan sampingan lain daripada rakan-rakan dan persekitaran,” katanya.

Terdahulu, seorang pempengaruh serta pakar kewangan Islam, Dr Zaharuddin Abd Rahman berkongsi satu tangkap layar di Facebook, meminta Asyraf Wajdi mengambil tindakan terhadap insiden diadukan seorang ibu mengenai kes buli ke atas anaknya.

Menerusi aduannya, wanita itu mendakwa, anak lelakinya yang menuntut di Tingkatan Satu sebuah MRSM, menjadi mangsa buli pelajar Tingkatan Lima.

Dalam responnya di ruangan komen perkongsian itu, Asyraf Wajdi secara terus bertanya lokasi MRSM terbabit.

Selepas diberitahu, beliau memaklumkan pengurusan MRSM berkenaan diminta menyediakan laporan berhubung kes itu.

Pada masa sama, Asyraf Wajdi meminta siasatan dibuat secara adil dan menyeluruh.

Sementara itu, beliau terbuka menerima pandangan diberikan netizen berhubung inisiatif mungkin boleh dilaksanakan sebagai antara kaedah memerangi buli.

Antaranya, beliau menerima baik cadangan seorang individu sekiranya poster berkaitan dengan larangan buli, dipamerkan di setiap premis, sekolah dan asrama bagi memastikan murid maklum mengenai betapa seriusnya salah laku terbabit, selain bentuk hukuman boleh dikenakan.

“Cadangan yang baik. Insya-Allah saya akan minta pengurusan Mara ambil tindakan,” katanya. – 12 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Related