Keputusan kekalkan kerusi 6 bekas Ahli Parlimen Bersatu tidak akan ‘goncang’ pendirian Umno

Sebelum ini terdapat dakwaan 11 wakil rakyat BN akan mengisytiharkan sokongan kepada calon Perdana Menteri baharu jika Speaker Dewan Rakyat tidak mengosongkan enam kerusi terbabit

11:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Keputusan Speaker Dewan Rakyat mengekalkan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu, tidak akan mendorong wakil rakyat mana-mana parti lain termasuk Umno untuk menukar sokongan sedia ada.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan ketika dihubungi Scoop berkata, keputusan Speaker itu juga tidak akan memberi satu perubahan drastik terhadap senario politik negara.

“Wakil rakyat Bersatu tiada ikatan dalam parti untuk mendokong ataupun memastikan pendirian mereka mesti selari dengan parti, tiada ikatan itu, berbeza dengan Umno yang ada ikatan, mesti ikut pendirian Presiden dan akujanji dimeterai sebelum jadi calon pada pilihan raya lalu.

“Jadi keputusan Speaker Dewan Rakyat tidak akan mendorong wakil rakyat Umno atau BN termasuk yang mendakwa 11 orang itu untuk menyokong pihak lawan atau pembangkang.

“Hakikatnya adalah wakil rakyat parti-parti lain, mereka berdisiplin, disiplin mereka ialah ikut arahan parti, tidak seperti Bersatu.

“Jadi sebab itu dikatakan keputusan Speaker tidak akan memberi satu perubahan drastik terhadap senario politik di mana tidak akan timbul soal sama ada wakil rakyat Bersatu akan menyokong Perdana Menteri atau wakil rakyat Umno akan nyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Menurut Profesor Madya Azmi Hassan, keputusan Speaker Dewan Rakyat mengekalkan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu tidak akan mendorong wakil rakyat Umno atau BN untuk menyokong pembangkang. – Gambar Bernama, 14 Julai, 2024

Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Bersatu sudah menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang menolak permohonan parti itu supaya kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri dikosongkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun mempertahankan keputusan Speaker Dewan Rakyat yang tidak mengosongkan kerusi enam wakil rakyat Bersatu kerana perkara itu diputuskan mengikut undang-undang.

Malah kata Anwar, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya membaca tafsiran undang-undang Perlembagaan Persekutuan berhubung akta anti lompat secara keseluruhan, dan bukan diambil sebahagiannya sahaja.

Sebelum ini Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa mendakwa 11 wakil rakyat BN akan mengisytiharkan sokongan kepada calon Perdana Menteri baharu jika Speaker Dewan Rakyat tidak mengosongkan enam kerusi terbabit.

Beliau juga mendakwa langkah itu juga akan diikuti oleh Ahli Parlimen daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan yang kini bersama kerajaan perpaduan, selain disokong wakil rakyat Perikatan Nasional (PN).

Profesor Madya Mazlan Ali tidak melihat perubahan sokongan dalam kalangan Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan akan berlaku seperti yang didakwa sesetengah pihak. – Gambar Bernama, 14 Julai, 2024

Sementara itu penganalisis politik, Profesor Madya Mazlan Ali berkata, keputusan Speaker tidak akan membawa kepada kemungkinan ada Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan akan menyokong pembangkang.

“Saya tidak nampak itu berlaku, di peringkat awal untuk tubuh kerajaan dulu, 10 ahli Parlimen BN buat SD (akuan sumpah) sokong Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tapi akhirnya 10 orang Ahli Parlimen BN ini tarik balik (SD) kerana dalam Umno, parti dan keputusan Presiden memutuskan untuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan. Mereka terpaksa akur kerana Umno ada akujanji pampasan RM100 juta.

“Jadi di antara Ahli Parlimen dalam kerajaan Madani yang lain Amanah, PKR dan DAP, kita tak lihat akan berlaku peralihan sokongan, jadi situasi itu susah untuk berlaku,” katanya.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim juga sebelum ini memberi gambaran awal bahawa tidak akan melayan apa jua tindakan yang boleh menggugat kerajaan.

“Jadi sekarang kalau ada Ahli Parlimen yang nak alih sokongan, selain dengan SD, tiada cara lain kecuali ketua parti buat keputusan keluar dari mana-mana gabungan,” katanya. – 14 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

Anwar’s plan: protecting Petronas and restoring the ringgit – Tuan Muda

How the prime minister’s reforms are taking shape in crucial institutions

Related